ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar beramah mesra bersama penduduk yang hadir ketika Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Seri Setia di Jalan PJS 6/6A, Petaling Jaya pada 7 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Kerja pemutihan PPR Lembah Subang dijalankan berterusan hingga lepas PRN

Oleh DIANA ABD WAHAB

PETALING JAYA, 8 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia akan menumpukan kerja pemutihan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Halimey Abu Bakar berkata ia susulan kawasan perumahan itu ‘diceroboh’ dan didiami warga asing selain mereka yang bukan dalam kategori berpendapatan rendah (B40).

“Kita akan laksanakan pemutihan semula menerusi kerjasama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan hanya benarkan mereka yang layak diami rumah di PPR Lembah Subang ini.

“Isu ini sudah lama dan kita telah laksanakan (pemutihan) ketika pentadbiran kerajaan 22 bulan sebelum ini namun ia terbantut berikutan pertukaran kerajaan.

ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar bercakap kepada media ketika Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Seri Setia di Jalan PJS 6/6A, Petaling Jaya pada 7 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita sudah bincangkan perkara ini dengan Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung dan Timbalan Menteri KPKT (Akmal Nasrullah Mohd Nasir) dan telah aturkan beberapa perkara,” katanya kepada Selangorkini.

Terdahulu beliau ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia yang berlangsung di tempat letak kereta Jalan PJS6/6A, di sini semalam.

Halimey berkata bagaimanapun perkara itu hanya dapat direalisasikan sekiranya beliau menang PRN dan berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia bagi penggal kedua.


Pengarang :