Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru pada 26 September 2022. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

580 individu ditahan terlibat judi dalam talian di Johor tahun ini

JOHOR BAHRU, 7 MEI: Polis menahan 580 individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan judi dalam talian dalam 554 serbuan menerusi Op Dadu Khas di Johor sejak 1 Januari hingga semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua yang ditahan berusia 17 hingga 60 tahun, terdiri daripada 562 penjaga premis dan 18 pemain judi.

Beliau berkata 44 premis diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala lapan premis telah mendapat kelulusan pembatalan lesen daripada pihak berkuasa tempatan.

“Kita turut merampas 606 unit telefon bimbit pelbagai jenama, tujuh unit tablet, enam unit komputer riba dan wang tunai RM190,890,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM50,000 dan penjara maksimum tiga tahun, jika disabit kesalahan.

Kamarul Zaman berkata tahun lalu 1,080 individu ditahan melibatkan 1,012 penjaga premis dan 68 pemain judi dalam talian, semuanya berumur antara 17 dan 60 tahun.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung kegiatan perjudian dalam talian, orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau pun bilik gerakan polis Johor di talian 07-221 2999 atau 07-225 4677,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :