Oleh Diana Abd Wahab
PETALING JAYA, 8 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia berjaya menyelesaikan pelbagai isu di kawasan terbabit sepanjang sepenggal memegang jawatan itu.
Halimey Abu Bakar berkata antara isu berbangkit yang berjaya ditangani sebagai wakil rakyat antaranya sampah pukal dan penyelenggaraan lif bagi kemudahan serta keselesaan penduduk.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/adn-1-1-500x333.jpg.webp)
“Alhamdulillah, setakat ini kita berjaya selesaikan masalah berkaitan sampah pukal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dengan bantuan KDEB Waste Management (KDEBWM).
“Kita juga dapat atasi isu berkaitan penyelenggaraan lif di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang walaupun terdapat satu dua masalah memandangkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan telah melantik syarikat penyelenggaraan baharu di situ,” katanya.
Terdahulu beliau ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia yang berlangsung di tempat letak kereta Jalan PJS6/6A, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Halimey yakin mampu mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2018.
“Saya telah laksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan lakukan kerja sebaik mungkin, kita tiada masalah dan sedia ‘berperang’ dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
“Dengan gerak kerja yang telah dibuat dan sokongan pengundi pelbagai kaum di kawasan ini kita yakin akan menang sekali lagi di DUN Seri Setia,” katanya.