Barisan pelakon dan penerbit menghadiri sidang akhbar di Kuala Lumpur pada 1 Mac 2023 bagi mempromosi filem Anwar, The Untold Story yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bulan ini. Foto Facebook Anwar The Untold Story
AGENDANASIONAL

Filem Anwar, The Untold Story ditayang khas malam ini di Pavilion KL

SHAH ALAM, 8 MEI: Filem Anwar, The Untold Story yang memaparkan liku perjuangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ditayangkan dalam sesi khas di Pavilion Kuala Lumpur malam ini.

Sesi tayangan itu dikhaskan untuk tetamu kehormat dan media termasuk dari luar negara, yang turut dijangka dihadiri Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, lapor Berita Harian.

Lebih 250 tetamu kehormat lain termasuk penggiat seni turut diundang antaranya Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Datuk M Nasir, Datuk Yusuf Haslam dan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Majlis tayangan perdana anjuran DMY Creation menampilkan Siti Nurhaliza sebagai penyanyi lagu runut bunyi filem berkenaan berjudul Menjaga Cintamu ciptaan Andi Rianto dan lirik Sekar Ayu Asmara.

Filem arahan sutradara Indonesia Viva Westi dibintangi pelakon sensasi Farid Kamil Zahari sebagai Anwar manakala aktres terkenal Indonesia Acha Septriasa membawa watak Dr Wan Azizah.

Selain Malaysia sebagai lokasi utama, filem terbitan Yusrych Global yang menelan kos RM10 juta turut menjalani penggambaran di beberapa lokasi sekitar Indonesia.

Berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998, filem biopik itu merungkai perjalanan hidup Anwar sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, selain perjuangannya menentang amalan rasuah.

Filem Anwar, The Untold Story dijadual ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 18 Mei.


Pengarang :