Kumpulan Wang Simpanan Pekerja merekodkan jumlah pendapatan pelaburan RM15.85 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Penuaan drastik membimbangkan, lebih 40 peratus tiada skim persaraan 

SHAH ALAM, 8 MEI: Lebih 40 peratus tenaga buruh di negara ini dikesan belum dilindungi mana-mana program persaraan dan pencen formal, dedah pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata kebimbangan itu diburukkan dengan penuaan drastik apabila jangkaan populasi warga emas meningkat tiga kali ganda dalam tempoh 20 tahun, lapor Berita Harian.

Beliau memaklumkan jumlah populasi warga emas diramal meningkat kepada 12.3 juta pada 2060 berbanding 3.6 juta pada 2020, dengan majoriti adalah isi rumah berpendapatan rendah.

“Hanya 56 peratus daripada 16.7 juta tenaga buruh dilindungi KWSP dan Skim Pencen Perkhidmatan Awam dan kadar ini lebih rendah berbanding kadar purata liputan global sebanyak 68 peratus.

“Majoriti tenaga buruh yang tidak dilindungi adalah pekerja tidak formal termasuk pekerja bebas dan golongan bekerja sendiri,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

Berikutan itu, Ahmad Badri berkata pihaknya melaksanakan beberapa inisiatif seperti program ‘Outreach KWSP’ untuk memastikan tiada rakyat tercicir daripada mendapat perlindungan sosial.

Jelasnya, program jangkauan itu menunjukkan prestasi baik apabila jumlah ahli yang membuat caruman sukarela meningkat 70 peratus kepada 774,980 orang pada 2022, berbanding 455,361 pada 2021.

 


Pengarang :