Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menandatangan plak perasmian dan penjenamaan semula Hospital Serdang kepada Hospital Sultan Idris Shah. Turut mengiringi Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dan Pengarah Hospital Amin Sah Ahmad di Serdang pada 8 Mei 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan titah siapkan projek bina hospital, klinik ikut jadual 

SEPANG, 8 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor mengingatkan projek berkepentingan tinggi di negeri ini terutama hospital dan klinik disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah agensi pelaksana yang diberi tanggungjawab hendaklah memantau pembinaan itu dengan teliti selain menangani sebarang masalah dengan pantas dan cekap.

“Dengan terbinanya fasiliti kesihatan baharu di Selangor, rakyat boleh mendapatkan rawatan terbaik dengan kos yang mampu dan berpatutan.

“Oleh itu, pembinaan hospital dan klinik awam mesti dilaksanakan dengan cekap supaya diselesaikan dalam tempoh yang dirancang dan beroperasi dengan efisien bagi kesejahteraan rakyat,” titah baginda sempena perasmian Hospital Sultan Idris Shah yang dijenamakan semula daripada Hospital Serdang.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mendengar taklimat daripada Pengarah Hospital Serdang Dr Amin Sah Ahmad ketika melihat replika bangunan Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada 8 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Baginda turut menyeru pengurusan hospital baharu supaya mempunyai sistem pengurusan fasiliti yang cekap termasuk memastikan penyelenggaraan berjadual dilaksanakan.

“Semua fasiliti kesihatan yang uzur dan hospital lama hendaklah diberi perhatian dan penjagaan yang teliti bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Setiap infrastruktur dan peralatan yang rosak perlu dinaik taraf dan dibaiki untuk keselesaan pesakit dan mempermudahkan akses kesihatan kepada rakyat,” titahnya.


Pengarang :