EXCO Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni melawat reruai selepas merasmikan Hari Perundangan Jenayah Syariah bertemakan Evolusi Perundangan Jenayah Syariah Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 9 Mei 2023. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kahwin tanpa kebenaran antara 61 peratus kes diselesaikan mahkamah syariah negeri tahun lalu

SHAH ALAM, 9 MEI: Sebanyak 61 peratus daripada daripada 3,273 kes yang didaftar di Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor diselesaikan oleh Mahkamah Syariah Negeri Selangor pada tahun lalu.

EXCO Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata antara kes tertinggi yang diterima institusi itu termasuklah perkahwinan tanpa kebenaran, tidak didaftarkan dan berkahwin di luar negara.

“Sebanyak 61 peratus kes berjaya diselesaikan dan selebihnya sedang berjalan. Kebanyakan kes diterima berkaitan perkahwinan dan tidak dapat diselesaikan kerana tertuduh gagal dikesan.

“Banyak kes perkahwinan di luar negara tetapi mereka takut dan menjaga kepentingan sendiri yang akhirnya menimbulkan masalah apabila berlaku kematian.

“Mreka yang bernikah di luar negara atau tanpa kebenaran perlu segera ke mahkamah untuk selesaikannya. Mohon kerjasama semua pihak supaya dapat selesaikan kes-kes tertunda dan tertangguh lama,” katanya.

Terdahulu Mohd Zawawi merasmikan Hari Perundangan Jenayah Syariah bertemakan Evolusi Perundangan Jenayah Syariah Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.

Beliau berkata majlis berkenaan bertujuan memberi maklumat tentang perkembangan dan perundangan syariah kepada orang awam.

“Ini merupakan tahun ke lima jabatan ini ditubuhkan dan banyak perubahan dan pembaharuan dilakukan terutama dalam memantapkan lagi enakmen sistem kehakiman syariah.

“Pelbagai seminar, bengkel dianjurkan dan kali ini ia libatkan pelajar tingkatan enam. Dengan penglibatan ini, ia dapat beri pendedahan awal kepada pelajar berbanding sebelum ini hanya babit mahasiswa universiti,” katanya.

 


Pengarang :