Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari (dua, kiri) bertanya sesuatu dengan Asiah Baharom (duduk, kanan) isteri kepada veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Zakaria Manaf (duduk, kiri) yang mengalami strok ketika melawat di kediamannya di Taman Desa Rhu, Seremban, Negeri Sembilan pada 9 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan tekad jaga kebajikan veteran ATM, lulus 147 permohonan baiki rumah 

SEREMBAN, 9 MEI: Kerajaan akan terus komited menjaga kebajikan golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara termasuk keutamaan kepada inisiatif perumahan untuk mereka.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM setakat ini telah meluluskan 147 permohonan untuk membaik pulih rumah dan 40 lagi bina baharu untuk kumpulan itu membabitkan RM5.4 juta yang diperuntukkan tahun ini.

“Tahun ini kita sasar baik pulih 300 ke 400 rumah. Kita juga peruntukkan 40 rumah bina baharu, tapi yang mohon hingga 70, permohonan banyak dari peruntukan, tapi kita usaha penuhi keperluan itu dan tingkatkan setiap tahun, tahun lepas 26 rumah tahun ini 40 unit dengan keutamaan pada golongan B40,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat veteran ATM Zakaria Manaf, 69, yang terpaksa berkerusi roda dan bertongkat kerana menghidap strok sejak lima tahun lepas selain kanser prostat di kediamannya di Taman Desa Rhu di sini hari ini.

Sementara itu Adly berkata meskipun kira-kira 60 peratus veteran ATM cenderung untuk terlibat dalam bidang keusahawan sebagai kerjaya kedua, namun kerajaan turut memberi peluang kepada mereka untuk memilih kerjaya lain, sekali gus mampu meningkatkan lagi tahap sosioekonomi.

“Ramai yang beranggapan veteran tentera berumur 60 dan 70 tahun sedangkan seawal 38 tahun mereka sudah jadi veteran, dan setiap tahun hampir 5,000 tentera menamatkan perkhidmatan dan menjadi veteran, jadi kita fokus terhadap pemadanan kerja termasuk bersama agensi dan kontraktor.

“Bagi kami, bidang pekerjaan juga memberikan peluang yang baik, kita berikan kedua-dua peluang ini iaitu keusahawanan atau pekerjaan lain kepada veteran, mereka boleh pilih. Paling penting mereka mempunyai pendapatan selepas berpencen dan bersara,” katanya.

Terdahulu, Adly turut mengunjungi dan menyampaikan sumbangan kepada dua lagi veteran tentera di sekitar Negeri Sembilan yang menghidapi beberapa komplikasi kesihatan dan seorang veteran yang merupakan penerima Inisiatif Perumahan Veteran (Bina Baharu) menerusi Program Peduli Veteran. – BERNAMA

 


Pengarang :