Aksi pemain badminton wanita negara ketika menentang pasukan Filipina pada peringkat separuh akhir wanita kumpulan pada Sukan SEA 2023 Phnom Penh, Kemboja di Stadium Badminton Morodok Techo pada 8 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Michelle letak jawatan susulan kekalahan skuad badminton wanita kepada Filipina

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Michelle Chai secara sukarela menyerah serta menghantar notis peletakan jawatannya selaku Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Menerusi kenyataan dikeluarkan badan induk sukan itu, tindakan diambil Michelle berkait rapat susulan prestasi hambar skuad wanita negara yang tersingkir daripada saingan Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh, semalam.

“ABM turut ingin mengumumkan Pengarah Prestasi Tinggi ABM Dr Timothy John Jones dilepaskan daripada jawatannya berkuat kuasa serta-merta,” menurut kenyataan itu.

Tindakan BAM tersebut dibuat tidak sampai 24 jam selepas sidang media diadakan Michelle pada pagi tadi, yang mengakui bertanggungjawab di atas prestasi ditunjukkan skuad wanita berpasukan selain memberi bayangan untuk melepaskan jawatannya.

Michelle pada sidang media tersebut berkata kekalahan mengejut 0-3 di tangan skuad wanita Filipina pada aksi suku akhir di Dewan Badminton Morodok Techo, Stadium Nasional itu merupakan sesuatu kenyataan yang tidak boleh diterima dan memerlukan jalan penyelesaian barisan pengurusan dan kejurulatihan ABM.

— BERNAMA


Pengarang :