Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru pada 26 September 2022. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Lelaki warga asing ditahan berkelakuan jelik di tempat ambil wuduk

JOHOR BAHRU, 10 MEI: Lelaki warga asing ditahan selepas disyaki berkelakuan jelik di tempat mengambil wuduk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata lelaki berusia 69 tahun itu ditahan sejurus kejadian selepas mendapat laporan pada jam 4.36 petang.

“Hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod lampau dan saringan air kencing negatif,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kamarul Zaman berkata permohonan reman dibuat hari ini di Mahkamah Johor Bahru dan kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

“Sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Justeru, beliau berkata orang ramai dinasihati tidak melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan suasana tidak baik dan mengganggu-gugat ketenteraman awam.

Terdahulu, tular video berdurasi 10 saat menunjukkan seorang lelaki berdiri di tempat mengambil wuduk, dipercayai sedang membuang air kecil sebelum ditegur lelaki lain mengenai perbuatannya itu.

– BERNAMA


Pengarang :