Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada program Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Hulu Selangor di Padang Taman Awam Hulu Bernam, Hulu Selangor pada 29 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB pelawa orang ramai meriahkan rumah terbuka Aidilfitri Sabak Bernam Jumaat ini

SHAH ALAM, 10 MEI: Dato’ Menteri Besar mempelawa orang ramai memeriahkan rumah terbuka Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri di Sabak Bernam Jumaat ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) itu diadakan di Dataran Tanah Lesen Parit Baru bermula dari jam 8 hingga 11 malam.

“Hadir bersama keluarga dan kenalan sempena musim perayaan ini,” katanya menerusi Facebook.

JKSA daerah itu turut menampilkan penyanyi terkenal Ezad Lazim dan Lan Solo yang bakal mendendangkan beberapa lagu bagi menghiburkan pengunjung.

Rumah terbuka Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri akan diadakan di Dataran Tanah Lesen Parit Baru, Sabak Bernam pada 12 Mei 2023. Foto Facebook Amirudin Shari

Majlis itu turut menyajikan pelbagai jenis juadah raya kepada tetamu melalui 37 gerai dengan pelbagai menu antaranya sate, kambing bakar, lemang, rendang, kuih-muih tradisional, air balang serta pelbagai jenis bubur dan sup.

Menariknya, hadiah motosikal dan pelbagai barangan elektrik turut ditawarkan kepada pengunjung bertuah selain wang tunai untuk beberapa pertandingan antaranya karaoke lagu raya.

Program yang diadakan tiga hari berturut-turut pada setiap minggu sepanjang Syawal bermula 28 April telah berlangsung di Sepang, Hulu Selangor, Klang, Hulu Langat dan Petaling.

Ia diteruskan di Sabak Bernam, Padang Awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei) dan berakhir di tapak Uptown Sri Gombak pada 14 Mei, yang akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, Amirudin berkata jelajah itu antara inisiatif yang memberi peluang kepada segenap lapisan rakyat bertemu pemimpin negeri.

Beliau menjelaskan program itu mendapat sambutan sejak dianjurkan dan negeri memperuntuk RM200,000 bagi menjayakannya di sesebuah daerah.


Pengarang :