Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) melakukan penerbangan membawa keluar seorang pendaki Gunung Tahan yang patah kaki untuk menerima rawatan di Hospital Gua Musang pada 9 Mei 2023. Foto Facebook Bahagian Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
AGENDANASIONAL

Bomba lakukan penerbangan ihsan bawa pendaki patah kaki ke hospital

GUA MUSANG, 10 MEI: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan membawa keluar seorang pendaki Gunung Tahan yang patah kaki untuk menerima rawatan di Hospital Gua Musang di sini semalam.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata pesakit, Islahudian Abd Rahim, 41, dibawa menaiki pesawat Agusta Westland AW139 yang berlepas dari Subang pada jam 4.20 petang.

Beliau berkata pesawat tiba di puncak Gunung Tahan pada 5.20 petang untuk mengambil mangsa yang telah dibawa ke sana untuk mendapatkan bantuan.

“Pesakit dipercayai mendaki Gunung Tahan secara berkumpulan bersama empat rakan yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan.

“Mereka mendaki gunung di Merapoh dan dijangka turun melalui Gunung Tahan, namun apabila sampai di laluan menurun di Gedong, mangsa didapati patah kaki kanan dan sukar untuk berjalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Hasrizal berkata pesawat mendarat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada jam 5.40 petang dan mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang dengan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menunggu ketibaan pesakit.

“Operasi diketuai Pegawai Kanan Penguasa Bomba Mohd Zukhairee Zabidi bersama empat anak kapal.

“Semua petugas selamat tiba di Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang pada 6.40 petang dengan keseluruhan jam penerbangan berdurasi dua jam 42 minit,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :