SHAH ALAM, 10 MEI: Sebanyak 15 pusat Dialisis Mesra Selangor bakal beroperasi secara percuma tahun depan bagi menampung keperluan pesakit di negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri bersetuju menambah 10 pusat baharu berbanding lima sebelum ini untuk membantu pesakit mendapatkan rawatan dialisis.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/Picture6-e1683692643214-500x287.png.webp)
“Sebanyak 15 pusat Dialisis Mesra Selangor bakal beroperasi tahun hadapan dengan pertambahan 10 pusat baharu bagi menampung keperluan pesakit di negeri ini secara percuma sejak 2010,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, EXCO Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata setakat ini lima pusat dialisis dikenali sebagai Pusat Dialisis Rakyat telah beroperasi secara percuma sejak 2010 dan kini dijenamakan semula sebagai pusat Dialisis Mesra Selangor.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/03/1200_A9-1-500x341.jpg)
Beliau berkata untuk penambahan pusat berkenaan, ia akan dimulakan di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) khususnya perumahan kos rendah, antaranya di Klang, Ampang dan Selayang.
“Dianggarkan setiap bulan kira-kira 200 pesakit menerima manfaat di setiap pusat dialisis yang akan dibangunkan berdasarkan rekod pesakit di pusat dialisis sebelum ini,” katanya.