Orang ramai sanggup menunggu untuk membeli barangan keperluan asas murah pada Jelajah Ehsan Rakyat DUN Taman Medan di Petaling Jaya pada 10 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah Taman Medan ditutup awal selepas diserbu penduduk luar

Oleh Shamz Johan

PETALING JAYA, 10 MEI: Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan ditutup sejam awal selepas menerima kunjungan penduduk luar.

Wakil rakyat Syamsul Firdaus Mohamed Supri berkata lebih 300 ayam habis dalam tempoh 45 minit pada jualan murah di pekarangan Surau Al-Hijriah, Taman Medan di sini hari ini.

ADN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri

“Ramai penduduk luar Taman Medan yang datang bagi mendapatkan bekalan makanan, kita raikan manfaat Kerajaan Negeri untuk semua rakyat.

“Penduduk juga kerap meminta jualan murah ini diadakan, jadi kita anjurkan dan kita lihat jika ada ruang (penambahbaikan) untuk dilaksanakan, kita cuba tambah di masa hadapan,” katanya.

Jelas Syamsul Firdaus, ini merupakan kali kedua program berkenaan diadakan selepas Aidilfitri dan beliau yakin Kerajaan Negeri akan meneruskan JER sehingga Jun.

“Cuma kita akan lihat keupayaan bekalan dulu tapi saya rasa tiada masalah (diteruskan) dan kita perlu ambil kira juga pilihan raya negeri yang akan berlangsung,” katanya.

Petugas PKPS menyusun sebahagian barangan keperluan asas yang dijual pada Jelajah Ehsan Rakyat DUN Taman Medan di Petaling Jaya pada 10 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10)

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari lepas.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.


Pengarang :