Sukarelawan Team Selangor melupuskan naskhah al-Quran yang rosak akibat banjir di Pusat Pelupusan al-Quran, Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 15 Januari 2022. Foto Facebook Selangor Lestari by Team Selangor
AGENDANASIONAL

1.5 tan abu al-Quran dilupus ke laut, libat 2,750 naskhah rosak, koyak

GEORGE TOWN, 11 MEI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melepaskan 1.5 tan abu al-Quran yang telah dilupuskan ke dalam laut melalui Program Pemuliaan (Pelupusan) Al-Quran, di kawasan perairan Pulau Pinang, di sini hari ini.

Abu berkenaan dilepaskan di kawasan Pulau Kendi iaitu kira-kira 15 batu nautika dari Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu di Batu Uban, dengan disaksikan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Dengan menaiki kapal milik PPM Wilayah Satu dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, kaedah pembuangan abu al-Quran dijalankan mengikut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992.

Shamsul Anuar berkata pelupusan abu al-Quran itu melibatkan 2,750 naskhah yang terkumpul melalui tindakan penguatkuasaan, program advokasi dan program komuniti yang dijalankan pihaknya di Pulau Pinang.

Beliau berkata pelupusan itu juga melibatkan al-Quran yang koyak, rosak, tidak lagi boleh dibaca dan yang bukan Rasm Uthmani iaitu tidak diperakui oleh KDN kerana dikhuatiri terdapat kesilapan cetakan dan ayat al-Quran pada naskhah tersebut.

Shamsul Anuar berkata kaedah pemuliaan yang dilaksanakan itu juga mengikut kaedah ditetapkan Garis Panduan Pelupusan Teks al-Quran yang telah dikeluarkan oleh KDN melalui Lembaga Pengawalan Pelesenan dan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ).

Katanya sebagai panduan kepada proses pemuliaan yang tertib, pihak KDN juga telah mengeluarkan garis panduan melalui LPPPQ untuk rujukan umum.

“Proses pemulian abu al-Quran hari ini dijalankan melalui kaedah yang tertib dan terkawal melalui proses pendebuan dan pelepasan di laut, macam hari ini kita lupuskan di kawasan Pulau Kendi iaitu pada kedalaman kira-kira 18 meter.

“Proses hari ini turut mendapat kerjasama Jabatan Mufti Pulau Pinang, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang dan Masjid Seberang Perai Selatan,” katanya.

Shamsul Anuar berkata selain pendebuan dan pelepasan di laut, KDN turut menjalankan proses pelupusan al-Quran dengan cara menanam di tempat tersembunyi bagi mengelak salah faham orang ramai.

Menurutnya KDN melalui Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan menjalankan penguatkuasaan serta pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan al-Quran yang dijual di pasaran mempunyai perakaun KDN.

Beliau berkata pihaknya juga melaksanakan kempen ke arah sifar teks al-Quran tiada perakaun KDN dengan menjalankan operasi dan pemeriksaan terhadap penjual, pengimport, pengedar, premis simpanan, pintu masuk negara serta peniagaan secara dalam talian.

– BERNAMA


Pengarang :