Foto ihsan Majlis Bandaraya Petaling Jaya
PBTSELANGOR

Jambatan ikonik sepanjang 1.5 kilometer mercu tanda baharu di Petaling Jaya

Oleh Azian Aziz

PETALING JAYA, 11 MEI: Selangor bakal mempunyai mercu tanda baharu apabila jambatan ikonik sepanjang 1.5 kilometer yang menghubungkan Seksyen 13 dan Seksyen 52 di sini, siap dibina.

Pembinaan laluan pejalan kaki tersebut merupakan salah satu daripada tiga projek utama dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK) Sekyen 13. Dua lagi projek ialah pembinaan ‘Linear Park’ dan ‘Walkable Street’.

Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing R Rajiv berkata mercu tanda itu merupakan projek jangka panjang yang akan disiapkan secara berperingkat bergantung kepada pembangunan di kawasan Seksyen 13.

“Jambatan ikonik mempunyai taman di atas jejantas dan arca di sepanjang laluannya. Jejantas ini hanya untuk kegunaan pejalan kaki dan penunggang basikal sahaja,” katanya kepada pemberita di lobi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.

Menurut Rajiv projek ‘Linear Park’ akan dibina di sepanjang cabang Sungai Penchala yang berpotensi untuk dibangunkan dan dijadikan kawasan hijau bagi tujuan rekreasi dan menghidupkan semula keindahan semula jadi.

“Walkable Street’ yang melibatkan kawasan pejalan kaki bagi keseluruhan kawasan Seksyen 13 telah mula dibina sejak 2019 dan sedang disiapkan.

“Projek ini menggalakkan orang ramai berjalan kaki dan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan bermotor bagi menangani masalah kesesakan,” tambahnya.

Foto ihsan Majlis Bandaraya Petaling Jaya

RKK Seksyen 13 melibatkan kawasan sebelah timur Petaling Jaya berkeluasan 259.20 ekar yang berdekatan dengan kawasan kejiranan dan komersial yang sedang berkembang pesat dan maju.

RKK Seksyen 13 ini telah diwartakan pada 27 Mei 2010 dan selepas tujuh tahun pelaksanaannya RKK Seksyen 13 ini dicadangkan dibuat pengubahan dan akan dikenali sebagai RKK Seksyen 13 (Pengubahan 1).

Zon pembangunan bercampur dan terhad di Seksyen 13 masih dikekalkan sama seperti yang telah dinyatakan di dalam RKK yang asal.

Pembinaanya bertujuan merealisasikan sebuah bandar yang komprehensif, menarik, mampan dan menekan konsep Walkable City.

Orang ramai dipelawa memberi pandangan dan maklum balas secara bertulis mengenai Draf RKK Seksyen 13 (Pengubahan 1) ini kepada Datuk Bandar Petaling Jaya sebelum 29 Mei ini melalui email [email protected] dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03-7956 3544 sambungan 364, 372 dan 262.

Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing R Rajiv melihat pelan pembangunan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Seksyen 13 Petaling Jaya pada 11 Mei 2023. Foto pejabat ADN Bukit Gasing

 


Pengarang :