Khemah disediakan untuk orang ramai ketika program Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Ar-Raudhah, Kampung Sungai Kembong, Pelabuhan Klang pada 11 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Barangan asas jualan murah DUN Pelabuhan Klang habis dijual dalam tempoh dua jam

KLANG, 11 MEI: Pelbagai barangan asas pada harga murah di Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang mendapat sambutan orang ramai walaupun cuaca hari ini panas terik.

Menerusi jelajah itu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) selaku pengendali program membawa enam barangan keperluan harian iaitu 500 ekor ayam dan 300 barangan libatkan telur, beras, daging dan ikan manakala 150 botol minyak masak.

Tidak sampai dua jam semua ayam dibawa itu habis dijual begitu juga dengan lima barangan lain.

Sementara itu wakil rakyatnya Azmizam Zaman Huri berkata JER DUN Pelabuhan Klang dijalankan di bawah khemah serta kawasan berbumbung supaya penduduk tidak perlu berdiri dalam cuaca panas sementara menunggu giliran.

“Kita sediakan khemah dan buat program di lokasi berbumbung supaya orang ramai selesa untuk beli barangan keperluan ketika cuaca panas ini selain anjurkan di kawasan yang ada kemudahan tandas.

ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri beramah mesra bersama pembeli ketika program Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Ar-Raudhah, Kampung Sungai Kembong, Pelabuhan Klang pada 11 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Selain itu, bagi memastikan jualan berjalan lancar kita tempatkan kakitangan dan sukarelawan pusat khidmat bagi membantu terutama di bahagian pembungkusan,” katanya ditemui dalam program di Masjid Ar-Raudhah, Pelabuhan Klang.

Mengulas lanjut, Azmizam berkata, penganjuran program itu adalah yang pertama pada musim Aidilfitri.

“Penduduk ternanti-nanti jualan ini untuk mendapatkan keperluan harian pada harga murah malah barangan dibawa mendapat sambutan dan habis terjual.

“Mereka berharap jualan diadakan setiap minggu tetapi saya memaklumkan tidak boleh berbuat demikian kerana jualan ini menjelajah ke 56 DUN,” katanya.

Pembeli bersama barangan keperluan yang dibeli ketika program Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Ar-Raudhah, Kampung Sungai Kembong, Pelabuhan Klang pada 11 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Jualan barangan murah bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif program kendalian PKPS itu memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lalu.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga Mei ini.


Pengarang :