Sekitar penggambaran drama Selalu Ada di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13 Shah Alam pada 4 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Drama Selalu Ada sarat mesej, kreatif garap iltizam negeri

SHAH ALAM, 12 MEI: Pelbagai bantuan menerusi Iltizam Selangor Penyayang (ISP) digarap kreatif dalam drama sepanjang 45 minit yang menemui penonton di TV2 pada 3 Mei.

Selalu Ada mengadunkan dialog, iklan, siaran radio serta poster dalam beberapa adegan bagi mempromosi sebahagian daripada lebih 40 inisiatif Kerajaan Negeri.

Antaranya baucar Jom Shopping Raya, Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Bas Smart Selangor, Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) dan Peduli Siswa.

Selain itu, Skim Iltizam Selangor Sihat (ISS), program Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Selangor (IMPAK Selangor), Anak Istimewa Selangor (ANIS) dan Jelajah Ehsan Rakyat juga diselit.

Kesemua pakej ISP itu diselit dalam plot Selalu Ada yang berkembang menerusi elemen persahabatan dan kekeluargaan.

Cerita bermula dengan tiga sekawan di Selangor yang bakal menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Barisan pelakon drama Selalu Ada menjalani penggambaran di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13 Shah Alam pada 5 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Sedih meninggalkan negeri tersayang dan sahabat ketika susah dan senang membuatkan Faqih lakonan Syafie Naswip, Jasmin (Sophia Albarakbah) dan Salahudin (Zarul Imran) berat hati berpisah.

Plot mula berkembang apabila watak Dr Jayyana lakonan Erra Fazira membuat kemunculan.

Tidak keterlaluan dikatakan, Dr Jayyana yang menjadi kakak kepada Jasmin watak penting ‘menghidupkan’ drama walau muncul beberapa minit.

Lakonan bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 itu menyengat apabila menyimpulkan ‘selalu ada’ menerusi dialog ringkas yang terus sampai ke hati penonton.

“Dengan keluarga ke, dengan saudara mara ke atau dengan sahabat sekalipun kita kena ‘selalu ada’, tak kisahlah apa pun, janji ‘selalu ada’ dalam semua perkara, saling mengingati, ‘selalu ada’ bila berhadapan dengan masalah.”

Dr Jayyana sebagai pegawai perubatan di Hospital Shah Alam menjadi inspirasi tiga sahabat itu terutama adiknya Jasmin yang melanjutkan pelajaran ke United Kingdom.

Pelakon Syafie Naswip menjalani penggambaran drama Selalu Ada di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13, Shah Alam pada 4 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Cakna masalah

Pak Latip lakonan Kazar Saisi sebagai tukang cuci di kampus disulam elemen misteri pada awal kemunculannya. Latar bunyi seram pada babaknya mungkin menimbulkan kekeliruan kepada penonton mengenai peranannya dalam drama berkenaan.

Namun, sisi mesra Pak Latip kelihatan apabila melihat Faqih memakai jam peninggalan arwah bapanya yang lama dan ketinggalan zaman.

Bersama Faqih, Pak Latip yang mempunyai anak istimewa dan isteri seorang pengasuh, diterangkan mengenai kebaikan dan kelebihan IMPAK Selangor dan ANIS.

Watak Salahudin, seorang anak taat menyentuh hati apabila memilih menyambung pengajian di Shah Alam supaya dapat menjaga ibunya yang sakit berbanding menerima tawaran belajar ke Jepun.

Tangkap layar beberapa babak dalam drama Selalu Ada yang menampilkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan pelakon Ropie selaku pemotong daging. Drama sempena Aidilfitri ditayang kepada penonton di saluran TV2 jam 9 malam pada 3 Mei 2023. Foto Facebook Media Selangor

Pada akhir cerita, kemunculan Dato’ Jalaluddin Hassan sebagai Cikgu Salleh bertemu tiga bekas muridnya iaitu Ropie, Mat lakonan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Cikgu Amin lakonan EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah menghantar penonton mengimbau memori guru tidak pernah lokek memberi nasihat.

Pengakhiran cerita mungkin membuatkan penonton terpinga-pinga, namun nasihat Cikgu Salleh dipegang Mat seorang penjual daging iaitu ukuran kejayaan bukan dilihat melalui harta, kepandaian atau kedudukan, tetapi bagaimana menggunakannya untuk manfaat keluarga, sahabat dan masyarakat wajar menjadi pedoman.

Selalu Ada yang menjadi tajuk drama, digarap dalam konteks lebih meluas iaitu keberadaan pemimpin dalam kehidupan rakyat.

Dialog “itulah dia bila pemimpin tahu tentang masalah dan cuba selesaikan masalah” yang dilontar Mat ketika memberi respon pujian Ropie terhadap inisiatif jualan murah Jelajah Ehsan Rakyat menunjukkan peri pentingnya memilih pemimpin yang cakna masalah rakyat.

Drama arahan Che Mie terbitan Kerajaan Selangor diulang tayang pada 13 Mei kesinambungan program Senandung Aidilfitri ketika pandemik Covid-19 pada 2020.


Pengarang :