Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli ditemu bual Media Selangor di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 30 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Peneroka Bestari Jaya akur tidak miliki tanah ladang

SHAH ALAM, 12 MEI: Peneroka kelapa sawit di Lot 5170, Mukim Bestari Jaya, Kuala Selangor akur tanah yang diusahakan bukan milik mereka dan perlu dikosongkan apabila kontraktor memulakan kerja.

Setiausaha politik kepada Dato’ Menteri Besar berkata arahan berhenti kerja turut dikeluarkan sementara proses rundingan peneroka bersama Hasil Perangsang Resources Sdn Bhd dibuat dalam masa terdekat.

Juwairiya Zulkifli dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu diputuskan menerusi perbincangan bersama tiga wakil peneroka semalam, yang turut memohon diberi pampasan sewajarnya.

“Kerajaan Negeri komited memastikan keharmonian dan pembelaan sewajarnya kepada rakyat di samping bertanggungjawab menjaga kepentingan mereka secara keseluruhan khususnya melibatkan perkhidmatan bekalan air seperti yang timbul,” katanya.

Mengulas video mengenai isu tersebut, beliau berkata lot milik Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) itu dikategorikan sebagai tanah bencah bawah Rancangan Tempatan Daerah Kuala Selangor 2025.

Juwairiya menjelaskan tanah itu juga sebahagiannya diwartakan sebagai kawasan takungan air minuman zon Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) pada 2009.

Menurutnya, tanah tersebut dilindungi dan sebarang aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran seperti perladangan dilarang mengikut Seksyen 48 Enakmen Lembaga Urus Air Selangor.

“Bagaimanapun, pada 17 Jun 2020 atas timbang rasa KHSB menawarkan sewa sebahagian lot kepada peneroka bagi pertanian selama dua tahun sementara kerja selanjutnya dimulakan.

“Meskipun begitu, pihak peneroka tidak bersetuju dan menolak tawaran tersebut,” katanya.


Pengarang :