Mayat lelaki Orang Asli suku kaum Bateq yang hilang ketika memancing dipercayai dibaham harimau Selasa lalu ditemukan di Kuala Sungai Tunggul, Gua Musang pada 11 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Mayat Orang Asli dipercayai dibaham harimau ditemukan

GUA MUSANG, 12 MEI: Mayat lelaki Orang Asli suku kaum Bateq yang hilang ketika memancing dipercayai dibaham harimau Selasa lalu, ditemukan di Kuala Sungai Tunggul semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata mayat Halim Asin, 27, dijumpai pasukan penyelamat pada 5.10 petang dalam keadaan terlungkup dan tersangkut pada tunggul kayu pada jarak kira-kira dua kilometer (km) dari tempat kejadian.

“Mayat ditemukan dalam keadaan separuh bogel dan hanya memakai baju berwarna gelap, dipercayai hanyut dari tempat kejadian sehingga ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang memulakan operasi pagi semalam,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Kampung Aring 5 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sik berkata berikutan keadaan persekitaran di hutan yang gelap dan agak berbahaya, pasukan penyelamat mengambil keputusan untuk mengeluarkan mayat mangsa pagi tadi dan tiba ke tebing Sungai Aring 5 kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

Sik berkata misi SAR itu melibatkan lapan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), serta polis menamatkan SAR itu berikutan penemuan mayat mangsa.

Sementara itu, abang ipar mangsa Kuang Cemetong, 31, yang menyertai operasi SAR dari hari pertama pencarian Rabu lalu meluahkan rasa lega kerana mayat Halim berjaya ditemukan.

“Saya adalah antara orang pertama yang melihat mayat mangsa. Perasaan ketika itu sangat sedih, namun lega apabila Halim akhirnya dijumpai,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Halim hilang ketika memancing bersama anak saudaranya Alang Kuang, 8, di Sungai Aring 5, dikhuatiri menjadi mangsa serangan harimau.

– BERNAMA


Pengarang :