PETALING JAYA, 13 MEI: Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang menghimpun 19 parti esok akan menumpu agenda kestabilan dan memulihkan tekad.
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor berkata aspek tersebut perlu diberi perhatian berikutan ketidakstabilan politik yang berlaku dalam kerajaan sebelum ini.
“Paling tidak kita akan kukuhkan tekad. Menjamin kestabilan, pemulihan ekonomi bersama serta melaksana agenda reformasi kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).
“Beberapa aspek itu kita kukuhkan kerana sebelum ini kita berada dalam kerajaan tidak stabil. Hal ini satu pengajaran kepada pemimpin. Saya percaya semua faham,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Petaling Jaya di Jalan Othman, Seksyen 1 di sini hari ini.
Amirudin yang juga menteri besar Selangor berkata konvesyen itu bakal menyaksikan 19 parti politik bersatu dalam gabungan terbesar dalam sejarah politik negara.
“Saya rasa majoriti faham bahawa kestabilan harus dipertahankan dahulu sebelum bicara mengenai hal politik yang lain,” katanya.
Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) esok dijangka menghimpunkan 10,000 perwakilan daripada 19 parti politik dalam gabungan kerajaan perpaduan.
Konvensyen bertemakan “Madani Mewajahi Masa Depan Malaysia” julung kali diadakan sejak pembentukan kerajaan perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim enam bulan lalu.