Reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dipamerkan sempena Hari Jersi Selangor dan Pameran Awam Pembangunan KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pertukaran tanah untuk biaya kompleks sukan tidak libat hutan simpan

KUALA SELANGOR, 13 MEI: Penganugerahan tanah kepada pemaju bagi membiayai kos pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) tidak melibatkan kawasan hutan simpan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya bakal menggantikan tanah milik Kerajaan Negeri atau anak syarikat sebagai kaedah pembayaran secara pertukaran tanah.

“Hutan (tapak) tak ada. Kita guna tanah rizab milik Kerajaan Negeri atau anak syarikat. Sekarang kita tengah bincang dengan pemaju.

“Keputusan akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri yang terdekat kerana dua tiga minggu ini tak ada.

“Kita akan maklumkan bila nak mula (KSSA) sebab kita tahu ramai tunggu (projek berjalan),” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Parlimen Kuala Selangor dan DUN Bukit Melawati hari ini.

Semalam, Amirudin berkata sebanyak 10 tapak dikenal pasti sebagai tanah yang bakal dianugerahkan kepada pemaju KSSA antaranya sekitar Klang dan Hulu Selangor.

Tahun lalu Amirudin menegaskan tiada dana awam digunakan bagi pembangunan semula KSSA berikutan pelaksanaannya bersifat perkongsian awam-swasta.

Projek itu juga akan memanfaatkan akses dan kelebihan sedia ada di kawasan terbabit seperti lokasi strategiknya dan jaraknya yang berhampiran stesen laluan transit aliran ringan (LRT3).


Pengarang :