KUALA SELANGOR, 14 MEI: Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang dilaksanakan negeri bagi menangani masalah gangguan bekalan air dijangka siap Oktober ini, maklum Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari yakin projek melibatkan belanja lebih RM300 juta itu mampu mengurangkan risiko pencemaran dari hulu ke hilir Sungai Selangor.
Menurutnya, projek merangkumi empat fasa itu juga bertujuan memastikan bekalan air mentah mencukupi sekiranya negeri menghadapi musim kemarau.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/PSX_20230513_231810-500x333.jpg.webp)
“Berdasarkan laporan kita terima daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), semua empangan di Selangor mampu bertahan empat hingga enam bulan sekiranya negeri berdepan cuaca panas atau fenomena El Nino.
“Selain (empangan), tambahan lain kita mahu buat adalah memperbanyak dan mempertahankan simpanan air mentah menerusi projek SJAM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) daerah Kuala Selangor di Padang Awam Bukit Badong, di sini malam tadi.
Beliau menjelaskan di Bukit Badong juga terdapat loji rawatan air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) yang kerap berlaku pencemaran.
“Jika ada pencemaran di LRA Selangor (SSP1), (SSP2) dan (SSP3) kelak, ia masih boleh beroperasi apabila siapnya SJAM menjelang Oktober nanti,” katanya lagi.
Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM332 juta untuk menjayakan SJAM termasuk RM100 juta yang dikhaskan bagi menjamin operasi LRA jika berlaku pencemaran.
Skim berkenaan turut merangkumi beberapa langkah penyelesaian lain antaranya pindaan enakmen LUAS dan pemantauan skuad pantas LUAS.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/02/332459274_919479252578493_4305136606437138264_n-500x375.jpg)