Oleh AZIAN AZIZ
GOMBAK, 14 MEI : Dato’ Menteri Besar meluangkan masa lebih sejam membantu petugas menyiapkan pelbagai juadah dalam program Rewang Sekampung sempena Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak pagi ini.
Seramai 200 petugas termasuk penduduk dari 36 kampung bergotong royong melapah daging lembu sejak 7.30 pagi sebelum menyediakan bahan untuk memasak rendang dan sup daging, lemang daun lerek, bubur kacang durian dan rojak buah.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/PSX_20230514_104148-500x333.jpg.webp)
Dato’ Seri Amirudin Shari turut membantu memotong daging, memeriksa lemang daun lerek yang siap dilayur serta memasukkan bahan untuk memasak rendang dan sup daging.
“Rewang sekampung anjuran Pejabat Tanah dan Daerah Gombak hari ini adalah sebahagian daripada rewang sekampung sempena sambutan Aidilfitri dan program Jelajah Kita Selangor yang akan berlangsung malam ini.
“Kita sangat gembira dengan kehadiran semua petugas yang bergotong-royong memasak juadah untuk tetamu-tetamu malam ini,’’ katanya kepada pemberita selepas bersarapan bersama pemimpin komuniti.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/PSX_20230514_103815-500x333.jpg.webp)
Beliau kemudian melawat persiapan untuk rumah terbuka yang dianjurkan bersekali dengan Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di padang awam Pusat Komersial Fasa 3, Taman Sri Gombak, di sini.
Program Rewang Sekampung ini merupakan acara ketiga dan terakhir dalam program Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA).
Dua rewang yang berlangsung di Padang Taman Seri Kerayong, Kapar, dan Dataran Tanah Lesen Parit Baru, Sabak Bernam sebelum ini turut disertai Amirudin.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/PSX_20230514_103745-500x333.jpg.webp)
JKSA bermula 28 April lalu di tapak Pasar Pagi Pekan Salak, Sepang sebelum diteruskan di Padang Taman Awam Hulu Bernam, Hulu Selangor (29 April), Padang Taman Seri Kerayong, Kapar (30 April), tapak Agora Night Market Taman Sri Nanding, Hulu Langat (5 Mei), tapak Pasar Malam Sungai Buloh, Petaling (6 Mei) dan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat (7 Mei).
Seterusnya Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei), Padang Awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei) dan yang terakhir hari ini di padang awam Pusat Komersial Fasa 3, Taman Sri Gombak.