Seorang murid sekolah menutup kepala dengan buku susulan cuaca panas ketika tinjauan di Sekolah Kebangsaan Serada Kuala Terengganu, Terengganu pada 3 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pakar: Cuaca panas melampau tingkat risiko barah, rosakkan DNA sel kulit

SHAH ALAM, 14 MEI: Cuaca panas melampau bukan hanya menyebabkan strok haba, malah boleh meningkatkan risiko barah kulit dan kerosakan DNA sel kulit, kata pakar kesihatan awam.

Berikutan itu, Dr Mohd Hafiz Jaafar menasihati orang ramai supaya mengurangkan aktiviti yang banyak terdedah kepada cahaya matahari terutama waktu tengah hari, lapor Berita Harian.

“Gunakan pelindung matahari seperti payung, topi, kaca mata hitam bagi melindungi diri daripada terdedah cahaya matahari terutama pada waktu tengah hari.

“Paling penting, gunakan juga losyen pelindung UV sewaktu menjalankan aktiviti ini,” katanya menambah cuaca panas melampau turut menyebabkan kepenatan dan keletihan.

Beliau turut menggalakkan orang ramai mengenakan pakaian selesa jenis kapas yang longgar selain mengelakkan warna gelap bagi mencegah penyerapan haba.

Dr Mohd Hafiz juga menasihati masyarakat supaya mengambil air putih dengan kerap dan berkala selain mengelakkan minuman bergula atau kafein untuk mencegah dehidrasi.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Suani menjangka bilangan kes kesihatan akibat cuaca panas melampau bertambah kesan peningkatan suhu berterusan sehingga Ogos.

 

 


Pengarang :