Penduduk menyertai program Rewang Sekampung sempena Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) peringkat daerah Gombak di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak pada 14 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lebih 30,000 dijangka meriahkan rumah terbuka di Gombak malam ini

OLEH AZIAN AZIZ

GOMBAK, 14 MEI: Lebih 30,000 tetamu dijangka memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Seri Gombak mulai 8 hingga 11 malam ini.

Program yang diadakan bersekali dengan Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) anjuran pentadbiran negeri menyediakan lebih 42 juadah seperti sate, ayam dan kambing golek menerusi 29 gerai.

Yang dipertua Majlis Perbandaran Selayang berkata orang ramai yang ingin hadir boleh menggunakan bas perantara percuma berhampiran Melawati Mall, Giant Batu Caves dan Taman Greenwood.

“Pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan artis terkenal seperti Dato’ M Nasir, Dayang Nurfaizah dan Pija Mentor malam ini,” kata Dato’ Mohd Yazid Sairi ketika ditemui.

Sebelum itu, beliau meninjau persiapan majlis menerusi program Rewang Sekampung yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di sini.

Tetamu kehormat yang bakal hadir malam ini ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, timbalan perdana menteri, menteri Kabinet dan barisan pimpinan Selangor.

JKSA yang diadakan tiga hari berturut-turut pada setiap minggu sepanjang Syawal bermula 28 April berlangsung di Sepang, Hulu Selangor, Klang, Hulu Langat, Petaling, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

 


Pengarang :