Tangkap layar beberapa babak dalam teaser drama Selalu Ada di Facebook Media Selangor. Drama khas terbitan Kerajaan Selangor sempena Aidilfitri ditayang kepada penonton di saluran TV2 jam 9 malam pada 3 Mei 2023
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Siaran ulangan drama Selalu Ada di SelangorTV malam esok

SHAH ALAM, 14 MEI: Drama Selalu Ada yang menekankan mesej kekeluargaan dan pelbagai bentuk bantuan disediakan pentadbiran negeri akan ditayangkan semula di Youtube SelangorTV jam 9 malam esok.

Karya terbitan Kerajaan Selangor arahan Che Mie yang menampilkan barisan pelakon popular seperti Erra Fazira, Sophia Albarakbah dan Syafie Naswip ditayangkan pertama kali pada 3 Mei di saluran TV2.

Drama 45 minit tersebut turut dibintangi Datuk Jalaluddin Hassan, Kazar Saisi dan Ropie selain kemunculan khas Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai penjual daging.

Sebelum ini, EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah memaklumkan karya tersebut menerangkan secara umum beberapa inisiatif negeri yang memanfaatkan rakyat bermula daripada bayi.

“Menerusi drama ini, ada 20 inisiatif dikongsi manakala selebihnya menerusi poster dan papan iklan pada babak seperti di hentian bas,” katanya yang turut membuat penampilan khas dalam drama itu.

Pada tahun lalu dan sebelumnya, Kerajaan Selangor menerbitkan program Senandung Aidilfitri yang menampilkan selebriti tanah air bagi mengisi sambutan raya berikutan dampak pandemik Covid-19.

Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM600 juta setahun untuk menjayakan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bagi memastikan kebajikan rakyat terbela menerusi lebih 40 pakej bantuan.

Program itu memanfaatkan kanak-kanak, wanita, pelajar, orang kurang upaya, petani dan peniaga kecil dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan.

ISP disusun semula dari program kebajikan Merakyatkan Ekonomi Selangor yang bermula dari tujuh tawaran bantuan pada pilihan raya 2008 supaya kehidupan rakyat terbela.


Pengarang :