Oleh Azian Aziz
GOMBAK, 14 MEI: Rendang, sup dan ayam golek antara menu yang dimasak lebih 200 petugas Rewang Sekampung untuk Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak, hari ini.
Penolong Pegawai Daerah Gombak (Bahagian Pembangunan Luar Bandar) Nor Hidayu Sumiran berkata sebanyak enam ekor lembu dan 500 ayam digunakan untuk menyediakan hidangan tersebut.
“Selain itu kita juga sediakan rojak buah, bubur kacang durian, cakoi kaya (dimasak panas pada sebelah malam), lemang daun lerek (untuk tetamu kehormat) dan air kathira kautsar.
“Pelajar Kolej Azmida dan Kolej Komuniti Selayang pula akan menyediakan pelbagai jenis kek dan pastri sebagai pencuci mulut,” katanya ketika ditemui di Dewan Beringin.
Menurut Nor Hidayu setiap juadah yang disediakan pasukan Rewang Sekampung adalah untuk hidangan 5,000 tetamu kecuali lemang daun lerek yang disediakan hanya 400 batang.
“Makanan disediakan pasukan Rewang Sekampung boleh didapati di dua gerai. Bagaimanapun terdapat 27 gerai lagi yang menyediakan pelbagai pilihan makanan untuk para tetamu,” ujarnya.
Tambah beliau pihaknya juga menyediakan hadiah untuk gerai tercantik di padang awam Pusat Komersial Fasa 3, Taman Sri Gombak malam ini.
Tetamu kehormat yang bakal hadir malam ini ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, timbalan perdana menteri, menteri Kabinet dan barisan pimpinan Selangor.
Pengunjung majlis rumah terbuka itu juga akan dihiburkan dengan persembahan artis terkenal seperti Dato’ M Nasir, Dayang Nurfaizah dan Pija Mentor.
JKSA yang diadakan tiga hari berturut-turut pada setiap minggu sepanjang Syawal bermula 28 April berlangsung di Sepang, Hulu Selangor, Klang, Hulu Langat, Petaling, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.