Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media ketika program Rewang Sekampung di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak pada 14 Mei 2023. Foto REMY
AGENDANASIONAL

Bubar DUN: MB mengadap Sultan Selangor bulan depan

Oleh Azian Aziz

GOMBAK, 14 MEI: Dato’ Menteri Besar akan mengadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bagi memohon perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata apa juga keputusan dimuktamadkan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj akan diumumkan selepas pertemuan itu.

“Insya-Allah kita akan mengadap sebelum Tuanku pergi menunaikan haji kalau dah balik haji dah tak boleh sebab dia akan terbubar automatik pada 25 Jun.

“Nanti bila kita dah umum kita akan mengadap tapi ada proses kita kena tunggu masa yang sesuai sebab ini masih lagi Mei belum lagi Jun.

“Kita dah mula berbincang tapi keputusan itu keputusan Tuanku,” katanya ketika ditemui di program Rewang Sekampung Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak, hari ini.

Pada 22 Februari lalu Amirudin menerusi Facebook memberitahu enam negeri mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran DUN dalam dua minggu terakhir Jun ini.

Menurut beliau perkara tersebut akan dimaklum dan dibincangkan di peringkat parti sebelum dipersembah untuk mendapat perkenan DYMM Sultan, Yang Dipertuan Besar serta Tuan Yang Terutama Negeri masing-masing.

Enam negeri tersebut adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

 


Pengarang :