EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han menyantuni peserta pada majlis penutup Kem Muhibbah Kita Selangor 2023 di Universiti Islam Selangor, Bandar Seri Putra, Kajang pada 14 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Khidmat van transit dapat permintaan ramai, diperluas ke seluruh negeri

OLEH DIANA ABD WAHAB

KAJANG, 14 MEI: Perkhidmatan van transit atas permintaan (Demand Responsive Transport-DRT) akan diperluas ke seluruh negeri bagi memenuhi keperluan penduduk.

Menurut EXCO pengangkutan awam, usaha tersebut dimulakan sebaik tempoh percubaan projek rintis di Bandar Puteri Puchong bermula Mac lalu, berakhir bulan depan.

Ng Sze Han menambah inisiatif pentadbiran negeri itu menyelesaikan masalah pergi dan balik pengguna pengangkutan awam dari rumah ke lokasi terpilih yang disenaraikan.

“Kita akan buat pelancaran DRT bawah program Selangor Mobiliti selepas tiga bulan tempoh percubaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara pada Mac lalu.

“Buat masa ini, percubaan kedua DRT akan dilaksanakan bulan depan di kawasan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari iaitu DUN Sungai Tua,” katanya.

Beliau yang ditemui pada majlis penutup Kem Muhibbah Kita Selangor 2023 di Universiti Islam Selangor hari ini menambah keputusan memperluas DRT dibuat selepas menerima sambutan menggalakkan.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han mencuba perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) di Bandar Puteri Puchong baru-baru ini. Foto Facebook Ng Sze Han

Perkhidmatan DRT Bandar Puteri Puchong melalui 17 kawasan perumahan dan 20 hentian komersial antaranya stesen LRT Bandar Puteri dan Taman Perindustrian serta Hospital Columbia Asia.

Pengangkutan percuma yang dilengkapi perisian pintar bagi memudahkan pengguna merancang perjalanan turut melalui bank utama, restoran dan tiga stesen bas perantara sedia ada dalam zon.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM25 juta bagi memperkasa pengangkutan awam dengan RM22 juta diagih kepada 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meneruskan pelaksanaan Bas Smart Selangor.

Baki RM3 juta pula diagih untuk Selangor Mobiliti Fasa Pertama merangkumi perkhidmatan van DRT untuk melengkapkan ekosistem pengangkutan awam negeri.


Pengarang :