Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani sempena Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) daerah Gombak di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Seri Gombak, Batu Caves pada 14 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Jelajah rumah terbuka sembilan daerah meriah, dicadang jadi acara tahunan

GOMBAK, 15 MEI: Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) yang berlangsung di sembilan daerah disambut meriah apabila lebih 10,000 hingga 35,000 tetamu hadir di setiap lokasi.

Dato’ Menteri Besar berkata susulan sambutan yang diberikan rakyat, pihaknya bercadang menjadikan jelajah hari raya ke setiap daerah itu sebagai program tahunan negeri.

“Cadangan ini bergantung kepada keadaan. Insya-Allah, kita akan melihat kepada kesesuaian untuk jadikan ia program tahunan. Sebenarnya idea (JKSA) ini datang sejak tahun lepas.

“Kita melihat jika buat di satu tempat mungkin kawalan lebih besar, kos lebih besar dan kemudian kita cuba buat secara berpecah di peringkat daerah, kosnya lebih kurang sama tetapi ada penjimatan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program JKSA daerah Gombak di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Seri Gombak di sini, malam tadi.

Dihadiri lebih 35,000 pengunjung, acara yang dianjurkan bersekali dengan Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Orang ramai yang hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani sempena Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) daerah Gombak di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Seri Gombak, Batu Caves pada 14 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata sambutan rumah terbuka di setiap daerah itu juga dapat mewujudkan kerjasama pelbagai agensi.

“Kita dapat mengajak pihak pejabat tanah dan daerah bersekali dengan pihak berkuasa tempatan anjurkan bersama rumah terbuka, tidak perlu berasingan. Itu lebih baik.

“Sebenarnya, tradisi anjur rumah terbuka berasingan ini agak tertekan daripada aspek produktiviti, agensi itu buat, agensi ini pun buat… nanti sampai bulan Zulkaedah Zulhijjah pun masih buat rumah terbuka.

“Justeru, saya rasa dengan adanya kerjasama seperti ini, ia lebih mudah ditambah jumlah kehadiran pengunjung yang amat baik,” katanya.

JKSA yang bermula 28 April disambut meriah di Sepang, Hulu Selangor, Klang, Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling, Sabak Bernam dan Kuala Selangor sebelum berakhir di Gombak malam tadi.

Sebelum ini, Amirudin menjelaskan program itu mendapat sambutan sejak dianjurkan dan negeri memperuntuk RM200,000 bagi menjayakannya di sesebuah daerah.

Selain rumah terbuka, pengunjung juga dapat menyaksikan pelbagai hebahan inisiatif Kerajaan Negeri melalui Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

Orang ramai yang hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani sempena Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) daerah Gombak di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Seri Gombak, Batu Caves pada 14 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :