Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya pada 15 Mei 2023. Turut sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua, kiri) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali (dua, kanan). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan tekad tangani isu air di Kelantan, Sabah meskipun libat belanja besar

PUTRAJAYA, 15 MEI: Masalah air di Kelantan dan Sabah akan cuba ditangani Kerajaan Persekutuan meskipun melibatkan belanja besar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Masalah air di Kelantan dan Sabah perlu ditangani kerana ia adalah masalah asas dan bukanlah hal politik,” katanya pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Mei 2023 di sini hari ini.

Anwar berkata beliau sudah berunding dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Nor dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengenai masalah air itu dan mempersembahkan kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bahawa kerajaan pusat perlu mengambil alih tanggungjawab mengenai masalah air walaupun belanjanya besar.

Semalam, Anwar berkata beliau akan mengundang Hajiji dan Ahmad Yakob dalam tempoh dua minggu ini untuk mencari jalan menyelesaikan masalah air di kedua-dua negeri itu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata berdasarkan perancangan, usaha mengatasi masalah air di Kelantan dan Sabah mengambil masa terlalu panjang dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Belanjawan 2023.

Menurutnya, kerajaan juga sedang mempersiapkan kajian semula separuh penggal RMK12.

Beliau juga akan mengadakan perbincangan di peringkat Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan dan Sabah.

Anwar berkata hal-hal kemudahan asas seperti jalan berlubang dan berlopak di sesetengah bandar juga perlu diselesaikan dengan peruntukan RM1 bilion telah disalurkan tahun ini.

“(Dalam mengatasi hal kemudahan asas), penjawat awam perlu berganjak sedikit daripada perencanaan atau penggubalan dasar,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :