Sistem janji temu secara dalam talian melalui MySejahtera di fasiliti kesihatan primer Kementerian Kesihatan diperluas kepada perkhidmatan kesihatan pergigian mulai 15 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tempah slot periksa gigi kini boleh dibuat menerusi MySejahtera

PUTRAJAYA, 15 MEI: Bermula hari ini, sistem janji temu secara dalam talian melalui aplikasi MySejahtera di fasiliti kesihatan primer Kementerian Kesihatan (KKM) diperluas kepada perkhidmatan kesihatan pergigian.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini berkata melalui inisiatif itu, orang awam boleh menempah perkhidmatan pemeriksaan kesihatan pergigian dan merancang lawatan ke fasiliti kesihatan pergigian mengikut kesesuaian masa.

Beliau berkata sistem janji temu MySejahtera baharu itu menawarkan janji temu pemeriksaan kesihatan pergigian melalui Perkhidmatan Pesakit Luar.

“Peluasan ini akan mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan pergigian dan kemudahan akses ke klinik pergigian,” katanya serta menambah kaedah walk-in masih lagi diteruskan.

Beliau berkata pelanggan akan diberikan pemeriksaan, perundingan atau rawatan pergigian pada janji temu pertama dan sekiranya rawatan susulan diperlukan, penetapan janji temu seterusnya akan diaturkan.
Bagi kes kecemasan pergigian seperti sakit gigi atau kecederaan pada tisu muka atau gigi, orang awam boleh hadir terus ke mana-mana klinik pergigian berdekatan bagi mendapatkan rawatan kecemasan tanpa perlu melakukan tempahan janji temu, katanya.

Pendigitalan sistem janji temu perkhidmatan kesihatan pergigian melalui MySejahtera berpotensi meningkatkan kecekapan sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan pergigian negara serta tahap kesihatan pelanggan, selain mengukuhkan penjagaan kendiri dan saringan tahap kesihatan pergigian sebagai langkah pengesanan awal penyakit serta pencegahan penyakit pergigian, katanya.

Menurutnya, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mendapati 15 peratus daripada penduduk Malaysia tidak pernah mendapatkan pemeriksaan gigi dengan pengamal pergigian seumur hidup mereka, manakala 50 peratus pula hanya mendapatkan pemeriksaan pergigian yang terakhir mereka lebih dua tahun lepas. – BERNAMA


Pengarang :