Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (dua, kanan) menyampaikan anugerah Juara #CikguJuaraDigital bagi kategori Guru Prasekolah kepada Izyan Mardhiah Halmi dari Sekolah Kebangsaan Sijangkang Selangor pada Majlis Makan Malam Anugerah Hari Guru sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 15 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anugerah bukti guru OKU mampu berjaya, tangkis persepsi suka meminta-minta

MELAKA, 16 MEI: Bergelar orang kurang upaya (OKU) bukan penghalang buat Jasmi Md Tegol, 56, menabur bakti sebagai pendidik sekali gus dipilih menerima Anugerah Guru Berwibawa pada Majlis Anugerah Hari Guru 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini malam tadi.

Guru subjek Bahasa Melayu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China di Masjid Tanah, Alor Gajah berkata gelaran OKU yang diperoleh sejak berusia setahun setengah itu sebaliknya menjadi semangat untuknya hidup seperti manusia normal lain.

“Saya anggap kekurangan diri ini sebagai peluang dan bukannya rintangan untuk bergelar pendidik dan anugerah yang saya terima hari ini juga atas kekurangan diri ini.

“Walaupun saya mempunyai masalah pada kaki kiri dan terpaksa bertongkat namun saya merupakan bekas atlet paralimpik negara dalam sukan badminton malah pernah bergelar Juara Kebangsaan, Dunia dan Asia,” katanya yang juga Presiden Majlis Sukan dan Rekreasi OKU Malaysia.

Jasmi menerima anugerah berkenaan selain wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada majlis yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata anugerah yang diterima itu membuktikan kepada masyarakat bahawa golongan OKU juga mampu berdikari dan mencapai kejayaan dalam hidup sekali gus menangkis persepsi ramai bahawa golongan OKU adalah golongan suka “meminta-minta”.

Sementara itu, penerima Anugerah Guru Juara Digital kategori Sekolah Menengah dan Rendah, Mimi Norashikin Md Jani, 38, dari SMK Panchor, Negeri Sembilan berkata kejayaan yang diperoleh itu mendorongnya membuka peluang dan ruang kepada pelajarnya mendalami dunia robotik.

Guru Reka Bentuk dan Teknologi itu berkata walaupun sekolah berkenaan merupakan sekolah kampung dan mempunyai akses digital yang sangat terhad namun, sebuah “Digital Maker Hub” Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berjaya diwujudkan di sekolah berkenaan baru-baru ini.

“Saya dicalonkan menjadi juara kerana saya telah berjaya mewujudkan kumpulan robotik yang dikenali sebagai ‘tech genius’ sejak saya mula masuk ke sekolah itu pada 2017.

“Bermula dengan projek tersebut, banyak lagi pertandingan inovasi melibatkan kelestarian alam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang kumpulan kami menangi,” katanya yang memenangi wang tunai, sijil penghargaan dan plak.

Anugerah bagi tokoh pendidik itu menampilkan empat kategori iaitu Anugerah Khas Pendidikan (enam penerima), Anugerah Guru Inovatif (enam penerima), Anugerah Guru Berwibawa (tujuh penerima) dan Anugerah Guru Ikon (sembilan penerima).

Turut disampaikan pada majlis berkenaan ialah Anugerah Khas Menteri Pendidikan: Sekolah Citra Madani iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka, Perlis selain tiga Anugerah #GuruJuaraDigital.

– BERNAMA


Pengarang :