Ahli Majlis Majlis Perbandaran Ampang (MPAJ) Muhammad Samat menunjukkan pokok bunga di tapak semaian pada program gotong-royong JKP Zon 23 MPAJ di taman rekreasi Jalan Teratai 2/7, Taman Bukit Teratai, Ampang pada 16 Mei 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPAJ, penduduk bekerjasama wujud kebun komuniti di Taman Bukit Teratai

Oleh Shamz Johan

AMPANG JAYA, 16 MEI: Jawatankuasa penduduk (JKP) Zon 23 Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan mewujudkan kebun komuniti di kawasan lapang bersebelahan taman rekreasi di Jalan Teratai 2/7, Taman Bukit Teratai di sini.

Ahli Majlisnya Muhammad Samat berkata kawasan tersebut berpotensi dibangun sebagai tapak semaian anak pokok selain dilengkapi kolam ternakan ikan.

“Kawasan ini terbiar hampir dua tahun, jadi lebih baik dibangunkan sebagai kebun komuniti yang akan diusahakan bersama penduduk.

Penduduk membersih kawasan tanaman pokok di taman rekreasi Jalan Teratai 2/7, Taman Bukit Teratai, Ampang pada 16 Mei 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

“Atas permintaan mereka (penduduk), pihak JKP Zon 23 mengusahakan dengan kerjasama MPAJ agar kawasan ini dibersihkan dan dibaik pulih,” katanya.

Beliau ditemui pada program gotong-royong pembersihan semak samun bagi membasmi tempat pembiakan nyamuk aedes bersama lebih 50 penduduk hari ini.

Seramai 15 kakitangan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPAJ membersihkan semak samun dan besi buruk menggunakan empat lori Roll On Roll Off (RORO) serta sebuah jengkaut.

Menurut Muhammad Samat lagi, selepas kerja pembersihan selesai, pihaknya merancang untuk mewujudkan taman bunga mini, kolam ternakan ikan serta kelas berkebun untuk kanak-kanak.


Pengarang :