Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin (tiga, kanan) menunjukkan barang rampasan pada sidang media kes perjudian atas talian dan judi lumba kuda di Ibu Pejabat Polis Kontinjen pada 16 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Sindiket judi dalam talian raih untung RM3 juta sebulan tumpas

GEORGE TOWN, 16 MEI: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket perjudian dalam talian yang mampu mengaut keuntungan sehingga RM3 juta sebulan selepas menahan tujuh individu termasuk seorang wanita dalam siri serbuan di sekitar negeri itu, bermula Jumaat hingga Ahad lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata polis menyerbu sebuah kondominium di Bayan Baru pada 9 malam Jumaat dan menahan empat lelaki bersama seorang wanita di situ, hasil maklumat awam dan risikan.

“Pemeriksaan di rumah itu mendapati unit kondominium tersebut dijadikan ‘calling centre’ sindiket judi dalam talian dan lima individu yang ditahan merupakan operator (judi dalam talian) bagi sindiket tersebut, seterusnya polis menyerbu sebuah rumah lagi di kawasan sama namun tiada penghuni di situ.

“Dalam dua serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan digunakan sindiket untuk menjalankan kegiatan judi dalam talian antaranya 34 telefon bimbit, komputer riba, komputer, modem, dan router wifi. Lima suspek yang ditahan menerima upah RM1,600 hingga RM2,000 sebulan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, polis seterusnya menahan seorang lelaki di kawasan Butterworth, dekat sini pada 11 malam Sabtu dan seorang lagi suspek juga lelaki di Perai, dekat sini pada 7.30 malam Ahad, kedua-duanya dipercayai anggota sindiket judi dalam talian tersebut.

Khaw berkata berdasarkan siasatan, polis mendapati sindiket judi dalam talian itu telah beroperasi kira-kira sebulan lalu dan mampu menjana pendapatan RM100,000 sehari hingga RM3 juta sebulan.

Beliau berkata susulan penahanan tujuh individu warga tempatan itu, polis turut merampas wang tunai RM15,200 dan lima kereta mewah antaranya Toyota Velfire serta Mercedes-Benz dan empat motosikal yang kesemuanya bernilai RM900,000.

“Siasatan juga mendapati sindiket itu menggunakan aplikasi seperti Telegram, WeChat dan WhatsApp untuk mempromosi pelbagai permainan perjudian secara dalam talian menggunakan telefon, sasaran mereka bukan sahaja pelanggan dari dalam negara namun dari negara jiran juga,” katanya.

Menurutnya, polis percaya terdapat tiga lagi individu termasuk ketua sindiket yang masih bebas dan usaha giat dijalankan untuk mengesan mereka dipercayai masih berada dalam negara.

“Semua yang ditahan itu tidak bekerja dan kini direman empat hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :