Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat subuh di Masjid Nurul Ehsan, Jalan PJS 2, Petaling Jaya pada 12 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Kerajaan Negeri teguh junjung titah Sultan isu penggunaan kalimah ‘Allah’

SHAH ALAM, 17 MEI: Kerajaan Negeri menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam seperti termaktub dalam enakmen.

Pendirian ini selaras keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2014 dan fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010 berkaitan perkara sama, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Kerajaan Negeri menegaskan hak dan enakmen sedia ada khususnya Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 akan terus dipertahankan.

“(Pendirian) ini bermaksud perkembangan ini tidak akan menjejaskan atau mengancam pendirian Kerajaan Negeri berhubung penggunaan kalimah Allah,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui pemberita ketika menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri parlimen Shah Alam 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam pada 29 April 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Amirudin turut menegaskan Kerajaan Negeri melindungi kepercayaan bahawa agama harus dihormati dan tidak menggugat keharmonian yang telah dibina dan menjadi asas kepada Selangor.

Sementara itu, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyeru kerajaan persekutuan meneruskan rayuan isu penggunaan kalimah Allah agar keputusan itu menjadi rujukan lebih muktamad.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menegaskan kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh penganut bukan Islam seperti termaktub dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

“Mais berpandangan bahawa demi kepentingan awam, proses rayuan dalam kes melibatkan penggunaan kalimah Allah ini wajar diteruskan bagi membolehkan mahkamah di peringkat tertinggi di negara ini memutuskan isu ini secara muktamad yang boleh menjadi panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam iisu penggunaan kalimah Allah,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, perdana menteri menegaskan Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya hari ini memutuskan untuk mengekalkan ketetapan dalam enakmen negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung nama Allah.

“Jemaah Menteri menegaskan bahawa Kerajaan menghormati, memperakui, dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri- negeri dan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari 2023 yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan.


Pengarang :