Penduduk Muhammad Shariman Abdullah, 36, melihat bumbung rumahnya yang diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut ketika tinjauan di Kampung Binjai Bongkok, Marang pada 17 Mei 2023. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Lebih 10 rumah rosak dilanda ribut di Marang

MARANG, 18 MEI: Lebih 10 rumah rosak teruk selepas dilanda ribut dalam kejadian di Kampung Padang Mengkuang, Berangan dekat sini, petang semalam.

Mangsa, Ambak Mohd, 79, berkata ketika kejadian pada 3.30 petang itu, dia bersama tiga ahli keluarga sedang berehat di rumah selepas makan tengah hari.

Ambak berkata tiba-tiba angin kuat membadai rumahnya menyebabkan sebahagian bumbung tercabut.

“Waktu itu hujan tidak lebat, tetapi angin sangat kuat dan bunyi yang kuat agak menakutkan.

“Anak lelaki saya minta kami keluar dari rumah kerana bimbang bumbung menimpa kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya malam tadi.

Sementara itu persiapan rumah terbuka Aidilfitri anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, TDM Berhad bersama masyarakat daerah Marang turut terjejas apabila lima khemah besar diterbangkan angin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata selain khemah, pentas utama yang mengambil masa empat jam untuk didirikan juga runtuh sekelip mata.

“Semua kerja pemasangan khemah dan pentas sudah selesai pagi ini (pagi semalam) kerana rumah terbuka Aidilfitri itu petang esok (hari ini).

“Daripada tujuh khemah yang ada, hanya dua boleh digunakan semula. Kami pun terpaksa mengerah lebih ramai tenaga untuk membina semula pentas dan khemah untuk majlis esok (hari ini),” katanya ditemui di tapak rumah terbuka Aidilfitri di Kampung Padang Mengkuang dekat sini.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana tiada petugas cedera akibat kejadian tersebut.

“Ada beberapa petugas yang berada di tempat kejadian ketika ribut melanda, tetapi Alhamdulillah semuanya sempat lari dan berlindung di dalam masjid,” katanya.

Katanya semua rumah yang rosak akan dibaiki segera dan bantuan bersesuaian diuruskan oleh Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Pengkalan Berangan.

– BERNAMA


Pengarang :