Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Projek Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM) di Kampung Sungai Darah, Kuala Selangor pada 18 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Skim jaminan air mula operasi awal 2024, tampung keperluan 7 juta pengguna

KUALA SELANGOR, 18 MEI: Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang dibangunkan bagi menangani masalah gangguan bekalan air dijangka beroperasi awal tahun hadapan.

Dato’ Menteri Besar berkata ketika ini projek membabitkan empat pakej merangkumi proses pengepaman, pembinaan rumah pam, kolam takungan dan lencongan sungai di tahap 51 peratus.

“Projek dirancang dan dilaksanakan sejak 2020 ini dijangka siap menjelang Oktober ini. Namun kita ada banyak peringkat antaranya proses percubaan, simulasi jadi kita jangka projek berfungsi awal tahun hadapan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau tapak pembinaan Projek Skim Jaminan Air Selangor (SJAM) ketika Majis Perasmian Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) di Kampung Sungai Darah, Kuala Selangor pada 18 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Projek ini penting kepada Selangor kerana kita menampung keperluan 1.6 juta akaun membabitkan tujuh juta pengguna termasuk Lembah Klang dan Putrajaya selain sektor industri yang banyak,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pada majlis perasmian SJAM di tapak Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) di sini 600 hari ini.

Amirudin berkata projek dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dilaksanakan selepas negeri ini berdepan banyak insiden gangguan bekalan air hingga menjejaskan rutin harian.

“Sebanyak lapan kes henti tugas loji berlaku pada 2020 berpunca daripada pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor dan sekali di Sungai Semenyih manakala 2021 berlaku tiga kes pencemaran bau.

“Alhamdulillah pada 2022 dengan beberapa usaha yang kita mulakan sejak 2020, walaupun belum sempurna namun program alihan air dan pembinaan kolam mampu mengurangkan insiden pencemaran,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau selepas merasmikan Projek Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM) di Kampung Sungai Darah, Kuala Selangor pada 18 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM332 juta untuk menjayakan SJAM termasuk RM100 juta yang dikhaskan bagi menjamin operasi loji rawatan air jika berlaku pencemaran.

Skim berkenaan turut merangkumi beberapa langkah penyelesaian lain antaranya pindaan enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pemantauan skuad pantas agensi berkenaan.


Pengarang :