SHAH ALAM, 19 MEI: Dato’ Menteri Besar berbesar hati menyambut kehadiran tokoh ulama antarabangsa dan tempatan ke Festival Turath Islami yang dianjurkan Kerajaan Selangor bermula 20 hingga 25 Mei ini.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kehadiran beberapa ulama besar itu dijangka dapat memeriahkan festival berkenaan sekali gus menyemarakkan lagi syiar Islam.
“Mewakili rakyat Selangor saya berbesar hati dengan kehadiran Syeikh Dr Ali Jum’ah, Habib Umar Hafidz, Prof Dr Aqil Siroj, Dr Nadirsyah Hosen, Baba Ismail Sepanjang dan Baba Ghazali.
“Saya juga mengalu-alukan kehadiran tokoh pendakwah seperti Mufti Menk, Wael Ibrahim dan Dr Muhammad Salah ke Selangor.
“Saya memanjatkan doa kepada Allah agar rakyat dan negeri ini mendapat manfaat serta barokah dengan kehadiran para ulama serta da’i-da’i tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, Amirudin menyeru rakyat Selangor merebut peluang menyertai festival yang mengangkat perbincangan serta penghayatan berhubung kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali itu.
“Saya bercita-cita program sebegini akan menjadikan Selangor gemilang bergemerlapan sebagai Serambi Keilmuan Islam.
“Program ini membuktikan kesungguhan komitmen Kerajaan Negeri terhadap memantapkan syiar Islam serta menjulang kesarjanaan ‘Islam The Knowledge Triumphant’,” ujarnya.
Festival Turath Islami merangkumi lapan sesi iaitu;
– Daurah Afkar (20 hingga 21 Mei) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
– Jamuan Mahabbah Ulama-Umara (21 Mei) di Hotel Concorde, Shah Alam
– Seminar Penghayatan Ihya Ulumuddin (22 Mei) di Hotel Concorde, Shah Alam
– Majlis Zikir Darul Ehsan (22 Mei) di Masjid Sultan Salahuddin AbdulAziz Shah
– Sama’ Sifat Nabi (23 Mei) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
– Munaqasyah Ilmiah (24 Mei) di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak
– Himpunan Ilmuwan Muda Timur Tengah (24 Mei) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
– Muzakarah Ulama-Umara (25 Mei) di Hotel Concorde, Shah Alam
Festival itu diadakan bersempena projek terjemahan 10 jilid kitab Ihya Ulumuddin yang dijayakan Kerajaan Selangor.
Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh dibuat menerusi www.turathislamiselangor.com Program utama dipancar secara langsung di facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV.