Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir ke tayangan perdana filem ‘Anwar: The Untold Story’ di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada 8 Mei 2023. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Filem biopik Anwar kutip RM1 juta pada hari pertama tayangan

SHAH ALAM, 19 MEI: Baru sehari ditayangkan, Filem Anwar: The Untold Story yang memaparkan liku perjuangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencatat kutipan RM1 juta.

DMY Creation selaku pengedar rasmi filem biopik berkenaan mengesahkan angka kutipan itu biarpun bersaing dengan filem antarabangsa, Fast X.

Pengerusi DMY Creation, Datuk Mohamed Yusoff tidak menyangka kebanyakan pawagam di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak penuh pada hari pertama tayangan.

“Kami bersyukur filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd ini meraih sambutan luar biasa.

“Lebih menggembirakan, rakyat Malaysia memilih menonton filem biopik yang mengangkat kisah perjuangan Perdana Menteri berbanding karya antarabangsa,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Antara babak dalam filem Anwar: The Untold Story yang ditayangkan di seluruh negara mulai 18 Mei 2023. Foto Instagram Bianglala Entertainment

Berlatar antara 1993 hingga 1998, karya sepanjang 108 minit yang ditayangkan di 120 pawagam seluruh negara menceritakan perjalanan hidup Anwar sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan dalam perjuangannya menentang amalan rasuah.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif yang juga penulis cerita asal filem Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar bersyukur terhadap sambutan luar biasa termasuk tempahan awal untuk tayangan filem dibeberapa pawagam.

“Menerusi hasil tinjauan, orang ramai tidak melepaskan peluang memenuhi beberapa pawagam terpilih sekitar Lembah Klang seperti di Atria, MBO, Paradigm Mall, One Utama dan KLCC untuk menonton filem ini.

“Saya akui filem ini banyak terima tempahan lebih awal oleh pihak pawagam. Contohnya, pawagam di MidValley dan Pulau Pinang yang sudah penuh dan ditempah lebih awal untuk tayangan filem ini,” katanya.

Antara babak dalam filem Anwar: The Untold Story yang ditayangkan di seluruh negara mulai 18 Mei 2023. Foto Instagram Bianglala Entertainment

Filem arahan pengarah Indonesia Viva Westi dibintangi Farid Kamil Zahari sebagai Anwar manakala aktres terkenal Indonesia Acha Septriasa membawa watak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Filem biopik terbitan Yusrych Global turut menampilkan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sebagai penyanyi lagu runut bunyi berjudul Menjaga Cintamu ciptaan Andi Rianto dan lirik Sekar Ayu Asmara.

Selain Malaysia sebagai lokasi utama, filem Anwar: The Untold Story turut menjalani penggambaran di Indonesia.


Pengarang :