Kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan kerja baik pulih selepas dinding kayu salah sebuah unit rumah di Perumahan Awam Loke Yew tercabut akibat hujan dan ribut pada 19 Mei 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Dinding bilik tercabut diterbangkan angin, suami isteri tidak sempat selamatkan barangan

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Suami isteri menyifatkan kejadian angin kencang dan ribut di ibu negara petang semalam sehingga mengakibatkan dinding bilik rumah mereka tercabut, sebagai antara yang terburuk pernah berlaku sejak 55 tahun menghuni di Perumahan Awam Loke Yew, di sini.

Mangsa Nazri Nasir, 54, berkata kejadian berlaku terlalu pantas, sehingga beliau dan isteri tidak sempat menyelamatkan beberapa barangan peribadi seperti pakaian dan barangan perhiasan rumah, daripada turut diterbangkan angin kencang.

Menceritakan kembali kejadian 7.25 malam itu, beliau dan isteri berada di ruang tamu dan sedang bersiap untuk menunaikan solat Mahgrib dalam keadaan hujan lebat di luar rumah ketika itu, disusuli bunyi angin kuat.

“Isteri yang masuk ke bilik selepas itu tiba-tiba menjerit meminta tolong, apabila melihat dinding bilik terkopak dan tercabut ditiup angin.

Kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan kerja baik pulih selepas dinding kayu salah sebuah unit rumah di Perumahan Awam Loke Yew tercabut akibat hujan dan ribut pada 19 Mei 2023. Foto Bernama

“Angin terlalu kuat dan kejadian berlaku pantas sehingga saya tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan beberapa barangan dalam bilik,” katanya hari ini.

Bekas tentera itu berkata selepas dinding diperbuat dari kayu tercabut dibawa angin, hujan mencurah-curah masuk menyebabkan barangan di dalam bilik basah terkena tempias dan ‘banjir’.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana keadaan hujan lebat dan ribut itu tidak berlarutan serta kembali reda tidak lama selepas itu.

“Isteri saya kemudian meminta bantuan jiran dan Alhamdulillah saya bersyukur kerana tiada orang awam cedera. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur datang membaiki kediaman saya,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi yang hanya ingin dikenali Juliana, 36, yang merupakan jiran kepada mangsa berkata dia terdengar mangsa menjerit meminta tolong ketika kejadian ribut berkenaan.

“Ketika ribut saya nampak motosikal yang diletakkan di parkir jatuh kerana angin terlalu kuat dan saya lihat papan (bilik) milik mangsa tercabut,” katanya.

Pada masa sama beliau berharap DBKL dapat mengambil inisiatif menukar semua dinding kayu di Perumahan Awam Loke Yew kepada dinding batu, atas faktor keselamatan penduduk.

Beliau berkata kejadian berkenaan bukanlah pertama kali berlaku dan kali terakhir berlaku pada 2014.

– BERNAMA


Pengarang :