Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Sembilan pelajar sekolah ditahan bantu siasatan kes buli

GEORGE TOWN, 21 MEI: Polis menahan sembilan remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung dua kejadian pergaduhan di sebuah sekolah menengah di Butterworth baru-baru ini, yang tular di media sosial sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata mereka yang ditahan secara berasingan di sekitar Butterworth kelmarin terdiri daripada lapan pelajar sekolah dan seorang sudah tidak bersekolah.

“Saya mengesahkan polis menahan sembilan remaja lelaki berhubung dua video membabitkan dua kes pergaduhan dipercayai berbeza di sekolah yang sama itu, mereka ditahan secara berasingan semalam (kelmarin).

“Pegawai penyiasat (kes itu) sedang mengambil rakaman percakapan semua tangkapan dan kemungkinan kita akan membenarkan diberi jamin polis hari ini (semalam) memandangkan mereka pelajar sekolah serta bawah umur,” katanya.

Katanya kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 147 akta sama kerana merusuh.

Terdahulu tular di media sosial dua insiden pergaduhan berasingan di sekolah sama dan rata-rata netizen marah dengan tindakan kumpulan remaja itu.

Antaranya klip video berdurasi 32 saat memaparkan seorang murid lelaki ditumbuk dan ditendang bertubi-tubi oleh beberapa murid dipercayai berlaku dalam tandas.

Kebanyakan mereka termasuk mangsa serta sekumpulan murid yang menjadi ‘penonton’ aksi buli itu dilihat memakai pelitup muka dan berpakaian sukan.

– BERNAMA


Pengarang :