Pesawat pertama yang membawa 284 bakal jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini berlepas ke Tanah Suci pada 21 Mei 2023 dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MH 8056). Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

284 jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci pagi ini

SEPANG, 21 MEI: Terkejut dan terharu dapat menjadi tetamu Allah bersama ibu bapa, itu antara kata-kata pelajar jurusan seni reka grafik Muhammad Na’im Naqiuddin Abdul Halim.

Anak tunggal berusia 21 tahun bagi pasangan Abdul Halim, 61, pesara tentera dan Hasni Hasan, 59, antara yang berlepas ke Tanah Suci pada awal pagi Ahad menerusi kumpulan pertama, terdiri daripada 284 jemaah haji Malaysia.

Mereka berlepas dengan penerbangan Malaysia Airlines MH8056 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah pada 2.05 pagi Ahad.

Ketika ditemui pada majlis pelepasan kumpulan pertama jemaah haji di KLIA di sini awal pagi ini, Muhammad Na’im Naqiuddin yang berasal dari Sungai Petani, Kedah berkata pada mulanya dia tidak percaya dirinya terpilih untuk menunaikan haji namun rezeki berpihak kepadanya.

“Saya hanya harapkan ibu bapa saya terpilih untuk haji kali ini atas faktor umur mereka namun bila saya dapat tahu nama saya naik, saya terus sujud syukur, kira ini rezeki saya,” kata penuntut Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (UniSHAMS), Kuala Ketil, Kedah itu.


Jemaah haji Malaysia menunggu giliran daftar masuk ke kaunter Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 21 Mei 2023. Foto Bernama

Bagi Yaakop Murad, 64, beliau menyifatkan peluang menunaikan haji merupakan kebanggaan baginya sebagai seorang Islam yang dapat menunaikan rukun Islam kelima itu apatah lagi ia turut disertai isterinya Che Sarimah Endud, 62 tahun.

“Seronok, nak cakap tak tahu macam mana. Ia merupakan kebanggaan sebagai seorang Islam kerana dapat tunaikan haji. Anak-anak pun gembira menghantar kami suami isteri sebelum berlepas tadi,” kata bekas juruteknologi makmal perubatan di Kementerian Kesihatan itu.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH) merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman pada sidang media sempena majlis pelepasan berkenaan berkata 31,600 jemaah haji yang merupakan kuota penuh rasmi negara akan berlepas ke Tanah Suci secara berperingkat.

Ditanya mengenai keadaan cuaca yang tidak menentu di Arab Saudi dan persediaan TH menangani perkara tersebut bagi keselesaan jemaah haji, beliau berkata penerangan berkaitan cuaca dan sebagainya telah diberikan ketika kursus haji yang diadakan sejak awal tahun lagi.


Jemaah haji Malaysia menunggu giliran daftar masuk ke kaunter Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 21 Mei 2023. Foto Bernama

“Kita tekankan penjagaan kesihatan pada setiap jemaah haji dan aspek keselamatan kerana suhu persekitaran dijangka mencecah 50 darjah Celcius.

“Sebarang aktiviti berkumpulan anjuran TH akan diadakan sebelah malam agar jemaah haji tidak terdedah kepada cuaca panas, cuma di Madinah dan Makkah terutama ketika Masyair iaitu di Arafah, Mudzalifah dan Mina, mereka hanya duduk di khemah dan mungkin terdedah kepada cuaca panas,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata TH mempunyai pasukan perubatan yang sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan dan menjaga kesemua jemaah haji dengan sebaiknya.

Bagi tahun ini, Hari Wuquf iaitu 9 Zulhijah dijangka jatuh pada Selasa iaitu 27 Jun ini.

Penerbangan pertama jemaah haji negara bermula pada 21 Mei manakala penerbangan pulang terakhir ialah pada 1 Ogos depan.

Dalam pada itu, beliau juga merakamkan penghargaan khas kepada Kerajaan Arab Saudi yang masih meneruskan program ‘Makkah Route’ yang membolehkan bakal jemaah haji Malaysia ke Makkah tanpa perlu melalui prosedur yang memakan masa, sebaik tiba di lapangan terbang negara itu.

Menerusi inisiatif itu, anggota imigresen Arab Saudi yang berada di kaunter di KLIA bagi program itu akan memeriksa pasport jemaah haji dan apabila tiba di lapangan terbang Madinah atau Jeddah, jemaah haji Malaysia tidak perlu lagi menunggu proses imigresen dan kastam di negara itu.

Sebanyak 98 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa jemaah haji Malaysia membabitkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines pada tahun ini berbanding 48 pada 2022.

– BERNAMA


Pengarang :