ADN Kinrara Ng Sze Han pada Program jamuan Aidilfitri BK komuniti bersama JKP MBSJ Zon 18 dan pejabat DUN Kinrara di Dewan Serbaguna MBSJ Bandar Kinrara Puchong pada 21 Mei 2021. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Sambungan jalan Bandar Kinrara – Puchong kurangkan kesesakan Lebuh Raya Bukit Jalil

Oleh Azian Aziz

SUBANG JAYA, 22 MEI: Projek sambungan jalan dari Bandar Kinrara (BK) 5B ke Taman Perindustrian Puchong dapat mengurangkan kesesakan di Lebuh Raya Bukit Jalil.

Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han berkata projek di bawah Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bernilai RM2.28 juta itu juga menjimatkan masa penduduk.

“Buat masa ini penduduk dari Bandar Kinrara nak pergi ke Puchong Jaya perlu buat pusingan U besar di Lebuh Raya Bukit Jalil dan terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas.

“Bila projek ini siap Oktober ini kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Bukit Jalil dapat dikurangkan dan menjimatkan masa penduduk dari Puchong Jaya yang hantar anak ke SMK Seksyen 3 dekat BK5,” katanya.

EXCO kerajaan tempatan itu berkata demikian dalam majlis rumah terbuka anjuran komuniti Bandar Kinrara bersama Pusat Khidmat DUN Kinrara dan MPP Zon 18 MBSJ di Dewan MBSJ BK5, Bandar Kinrara Puchong, semalam.

Pada majlis itu kira-kira 1,500 penduduk sekitar Bandar Kinrara hadir.  Penduduk turut dihiburkan dengan persembahan qasidah, taekwondo dan silat selain hadiah cabutan bertuah serta pertandingan pakaian tercantik.


Pengarang :