Profesor Dr Kiai Said Aqil Siradj bersalaman dengan orang ramai selepas menyampaikan syarahan bertajuk Ihya’ Imam Al-Ghazali dan pendidikan tradisional Asia Tenggara ketika sesi syarahan utama 2 Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kemasyhuran ilmu al-Ghazali banyak pengaruhi ulama nusantara

SHAH ALAM, 22 MEI: Kemasyhuran ilmu Imam al-Ghazali banyak mempengaruhi ulama-ulama di nusantara, termasuk kumpulan agamawan tersohor Wali Songo, kata bekas pengerusi Nahdlatul Ulama.

Prof Dr Kiai Said Aqil Siradj berkata cendekiawan Islam itu bersifat multidimensi dan banyak mempengaruhi amalan Islam di Asia Tenggara secara amnya.

Profesor Dr Kiai Said Aqil Siradj menyampaikan syarahan bertajuk Ihya’ Imam Al-Ghazali dan pendidikan tradisional Asia Tenggara ketika sesi syarahan utama 2 Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Bukunya memainkan peranan penting dalam membentuk pemahaman masyarakat terhadap Islam dan memberi inspirasi kepada ramai muslim untuk mengamalkan ajaran Islam.

“Kitab Ihya’ Ulumuddin itu juga telah diintegrasikan ke dalam tradisi Islam tempatan terutamanya melalui pengaruh ulama dan guru yang mengajar di pesantren, madrasah dan pondok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan syarahan Ihya’, Imam al-Ghazali dan Pendidikan Tradisional Asia Tenggara di Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde di sini hari ini.

Orang ramai mendengar ucapan perasmian oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketka Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Festival sejak 20 hingga 25 Mei itu bersempena projek julung kali terjemahan bahasa Melayu kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali oleh Kerajaan Selangor yang dijayakan Inisiatif Buku Darul Ehsan.

Sementara itu, Kiai Said turut memuji usaha Kerajaan Negeri menganjurkan seminar dan majlis ilmu bagi menelaah karya sohor ilmuwan Islam.

Menurutnya, usaha itu wajar dicontohi pelbagai pihak selain ia boleh diteruskan dengan penganjuran majlis ilmu berkenaan cendekiawan Islam lain.

“Apa yang dilakukan Kerajaan Selangor itu sangat bagus. Lebih ramai lagi akan mengenali siapa Imam al-Ghazali. Moga ramai lagi akan ikut dan buat perkara seperti ini bersama ilmuwan Islam lain,” katanya.

Selain Kiai Said, seminar itu turut menampilkan Prof Emeritus Dr Osman Bakar, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia Dato’ Dr Muhammad Nur Manuty serta tokoh ulama Patani, Thailand Baba Haji Ghazali Ahmad Fathoni.

Terdahulu, kira-kira 1,000 peserta menghadiri seminar berkenaan. Ia merupakan program susulan majlis telaah Daurah Afkar Ihya’ Ulumuddin di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada hujung minggu lalu.


Pengarang :