AGENDAJENAYAH

Empat lelaki didakwa kerana merusuh di stadium

IPOH, 23 MEI: Tiga lelaki masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan merusuh ketika perlawanan bola sepak Liga Super antara Perak FC dan Selangor FC, Sabtu lalu.

Tertuduh, Muhammad Aiman Firdaus Badrul Hisam, 21; Mohamad Amirul Asnil Mat Pandir, 26 dan Muhammad Hayyan Sufi Mohd Sabri, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.

Mahkamah turut memerintahkan setiap tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh secara bersama telah melakukan kesalahan merusuh di Stadium Perak pada jam 9.17 malam, Sabtu lalu, lapor Sinar Harian.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam prosiding di mahkamah sama, seorang remaja lelaki bawah umur berusia 17 tahun turut mengaku salah bagi pertuduhan sama.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan remaja itu diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dalam kalangan ibu bapa atau penjaga.

Mahkamah turut menetapkan kes disebut semula pada 28 Jun ini bagi mendapatkan laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Hadi manakala semua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gnanarajan.

Akhbar melaporkan empat individu ditahan susulan kekecohan ketika perlawanan Liga Super di antara Perak FC dengan Selangor FC di Stadium Perak pada malam Sabtu dengan kemenangan pasukan pelawat 4-0.


Pengarang :