Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis perasmian Muzakarah Ulama-umara Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde Shah Alam pada 25 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Shah Alam bakal jadi pusat keilmuan Islam umpama Baitul Hikmah

SHAH ALAM, 25 MEI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berharap Selangor khususnya Shah Alam menjadi pusat keilmuan terkemuka Islam yang menjadi rujukan pelbagai pihak.

Beliau juga membayangkan ibu negeri berkenaan memainkan peranan seumpama Baitul Hikmah di Baghdad, Iraq dan Universiti al-Qarawiyyin di Maghribi.

“Saya membayangkan Shah Alam dan Selangor menjadi pusat keilmuan seumpama Baitul Hikmah Baghdad, al-Qarawiyyin, Al Azhar dan dua masjid mulia di Haramain.

“Muzakarah dan khulasah (ringkasan) kecil pastinya terjadi, membincangkan kembali, merenungi,
bertukar-tukar nota serta buah fikiran.

“Kesan berpanjangan sedemikianlah antara cita-cita kami sebagai penganjur,” katanya ketika merasmikan Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turath Islami Selangor di sini hari ini.

Sekitar majlis penutup Muzakarah Ulama-umara Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde Shah Alam pada 25 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Turut hadir, bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan EXCO Agama negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Baitul Hikmah yang ditubuhkan Kerajaan Abbasiyah pada Zaman Keemasan Islam pada abad pertengahan menjadi lokasi tumpuan cendikiawan Islam dalam pelbagai cabang pengetahuan.

Didirikan Khalifah Harun ar-Rasyid dan diteruskan puteranya Khalifah al-Makmun, ia menjadi pusat perbincangan ilmu dan penterjemahan sebelum dimusnahkan tentera Monggol pada 1258.

Universiti al-Qarawiyyin yang diasaskan Fatima al-Fihri pula diakui Guinness World Record sebagai institusi pengajian tinggi tertua di dunia yang dibina lebih 1,000 tahun lalu.

Pusat pendidikan yang dibina pada 859 SM di Fez,  Maghribi masih wujud hingga kini.


Pengarang :