Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor, Gan Pei Nei di Majlis perasmian penutup Karnival Kanak-kanak Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa Shah Alam pada 28 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Yawas optimis dasar negeri kembang potensi kanak-kanak, elak tercicir

SHAH ALAM, 28 MEI: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) optimis dasar pembangunan kanak-kanak yang diperkenalkan Selangor akan memperkukuhkan usaha mengembangkan potensi golongan tersebut.

Pengurus Besarnya Gan Pei Nei berkata kepimpinan dan kegemilangan negeri ini pada masa akan datang bergantung kepada pembentukan generasi muda yang cemerlang, berwawasan serta dinamik.

“Pembentukan dasar ini memperlihatkan komitmen dan usaha strategik Kerajaan Negeri supaya tenaga yang digembleng dapat disalurkan kepada masyarakat terutama kanak-kanak secara menyeluruh.

“Dasar yang dilihat sesuai dengan keadaan semasa dijangka dapat menyemarakkan program dan inisiatif untuk kanak-kanak selain memberdaya pemegang taruh terlibat secara terus dalam proses pembangunan golongan muda ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Kanak-kanak Selangor 2023 dan pelancaran Dasar Pembangunan Kanak-kanak Selangor dan Pelan Tindakan 2022-2025. Program itu dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Suasana sekitar majlis penutup Karnival Kanak-kanak Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa Shah Alam pada 28 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pada masa sama, Pei Nei turut menyeru semua pihak memberi perhatian dan kasih sayang sepenuhnya kepada kanak-kanak tanpa mengira latar belakang atau keadaan mereka.

“Golongan ini adalah aset yang amat berharga dan mereka berhak mendapat perlindungan, pendidikan dan sokongan daripada keluarga masyarakat serta negara,” katanya.

Berikut 10 tonggak Dasar Pembangunan Kanak-kanak Selangor dan Pelan Tindakan 2022-2025:

  • Persediaan keibubapaan dan pra kelahiran
  • Pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak
  • Pendidikan (peringkat rendah dan menengah)
  • Kesihatan
  • Kesejahteraan keluarga
  • Perkembangan sosial & komunikasi
  • Teknologi dalam perkembangan kanak-kanak
  • Infrastruktur dan keselamatan
  • Tahap sosioekonomi keluarga
  • Penglibatan pemegang taruh
Suasana sekitar majlis penutup Karnival Kanak-kanak Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa Shah Alam pada 28 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :