Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir merasmikan pusat komuniti The Spine @ PJKita di Jalan SS7/15 pada 28 MEI 2023. Foto MBPJ
PBTSELANGOR

MBPJ lancar pusat setempat pamer projek inovasi komuniti Petaling Jaya

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 29 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan Pusat Komuniti The Spine @ PJKita di Jalan SS7/15, Kelana Jaya, semalam.

Datuk Bandarnya berkata pusat berkenaan berfungsi sebagai tempat perkongsian penduduk mempamer dan mempromosikan projek inovasi selain menganjurkan program komuniti.

Mohamad Azhan Md Amir berkata pusat tersebut juga dilengkapi kemudahan dan produk kekal berpandukan 10 tema bawah pelan tindakan Petaling Jaya Pintar, Mampan dan Berdaya Tahan 2030 (PJSSR2030).

“Melalui tema Bandar Masyarakat 5.0 serta Bandar Pintar, MBPJ menyediakan dua ruang kontainer untuk komuniti mempamerkan projek berasaskan teknologi pintar dan IoT (Internet of Things) secara bergilir-gilir selama enam bulan,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, wakil MBPJ dari pelbagai jabatan turut ditempatkan yang terlibat secara langsung dengan penduduk selain menyediakan kiosk bayaran bagi memudahkan pengunjung menyelesaikan urusan cukai taksiran, sewaan dan bayaran kompaun.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir bersama ahli majlis kanak-kanak pada majlis perasmian pusat komuniti The Spine @ PJKita di Jalan SS7/15 pada 28 MEI 2023. Foto MBPJ

Antara kemudahan lain termasuklah perpustakaan mini, pusat tuisyen dan aktiviti pusat pembelajaran PJ SEED (Geran Komuniti Petaling Jaya Mampan) lengkap dengan kemudahan wi-fi serta pusat kitar semula pandu lalu pertama di Petaling Jaya.

Beliau turut memaklumkan di bawah tema Bandar Mesra Kanak-kanak, pusat tersebut turut menyediakan pejabat ahli majlis kanak-kanak yang dilengkapi ruang perbincangan aktiviti dan mesyuarat di tingkat atas.

“Selain itu, MBPJ komited membangunkan semula ekonomi penduduk, justeru, tujuh pengusaha kafe merupakan penduduk Petaling Jaya selain beberapa usahawan OKU turut menjalankan perniagaan di sini,” katanya lagi.

Pusat kitar semula pandu lalu antara sebahagian kemudahan yang disediakan di pusat komuniti The Spine @ PJKita di Jalan SS7/15. Foto MBPJ

Semalam, Mohamad Azhan merasmikan pusat komuniti The Spine @ PJKita yang siap sepenuhnya pada 2021 dengan kos hampir RM3.5 Juta.

Berkonsepkan tenaga sifar dan pembangunan lestari, pusat berkenaan turut dilengkapi dengan alat peranti pemantau tenaga yang mengesan penggunaan tenaga berlebihan.

 

 

 

 


Pengarang :